suria

Tenis Terbuka Australia: Roger Federer Menang Pusingan Pertama

JUARA Grand Slam 17 kali Roger Federer, 33, mara ke pusingan kedua Kejohanan Tenis Terbuka Australia pada lewat Isnin dengan menumpaskan pemain ke-47 dunia, Yen-Hsun Lu, 6-4, 6-2, 7-5.

Federer mengambil masa satu jam 53 minit untuk menang di Rod Laver Arena.

Ia adalah kemenangan ke-1,001 Federer sepanjang karier profesionalnya.

Kali terakhir Federer bergelar juara di Melbourne ialah pada tahun 2010, dan kini dia sedang mengejar gelaran juara Grand Slam yang ke-18.

Awal bulan ini, Federer mencatatkan kemenangannya yang ke-1,000 dengan menjuarai Kejohanan Antarabangsa Brisbane iaitu acara pemanas badan sebelum Terbuka Australia.

Dia kini akan berhadapan dengan Simone Bolelli pada pusingan kedua selepas pemain Itali itu mengejutkan Juan Monaco dari Argentina dalam empat set.  


Artikel Lain