suria

Liga Super: Sarawak Sasar Kedudukan Lima Teratas

Albert memantau pemain-pemainnya ketika sesi latihan dijalankan.

KUCHING: Keputusan perlawanan pramusim tidak begitu merisaukan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Datuk Sudarsono Osman kerana beliau berkeyakinan penuh terhadap kemampuan jurulatih Robert Alberts untuk memperkemas pasukan itu sebelum bermulanya Liga Super.

Sudarsono berkata Alberts mempunyai masa tiga minggu lagi untuk membina pasukan itu, termasuk melalui perlawanan persahabatan dengan PKNS Selangor, Negeri Sembilan dan KL SPA.

"Daripada pengamatan saya, pasukan ini sedang membina momentumnya dari semasa ke semasa.

"Kini terpulanglah kepada Robert (Alberts) untuk mengubah para penyerang menjadi penjaring gol berbahaya dan dengan pengalaman yang dimilikinya, saya percaya beliau dapat memperkemas pasukan ini sebelum kami bertolak untuk mengadakan perlawanan pembukaan kami dalam Liga Super menentang Felda United pada 7 Februari,” kata Sudarsono kepada pemberita pada Selasa bagi mengulas kenyataan Alberts.

Pada Isnin, Alberts berkata beliau kecewa kerana dua penyerang import pasukan itu, Ryan Griffith dan Billy Mehmet, tidak begitu menyengat dalam perlawanan persahabatan antara Sarawak dan Sabah di Stadium Negeri di sini pada Ahad, yang berkesudahan dengan Sarawak menang 2-1.

Mengenai sasaran Sarawak, Sudarsono berkata beliau yakin pasukan, yang juga dikenali sebagai 'Bujang Senang' itu, akan mencatat prestasi lebih baik tahun ini dengan muncul sebagai antara lima pasukan teratas, berbanding tempat ketujuh musim lepas.

“Persiapan kini semakin rancak setelah pasukan ini menjalani latihan intensif selama dua minggu dan mengadakan perlawnan persahabatan dengan beberapa pasukan di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Pada musim ini, Sarawak akan menggunakan khidmat empat pemain luar –Billy Mehmet, Ronald Hikspoor, Ivan Fatic dan pemain musim lepas Griffith- di samping beberapa pemain import tempatan terdiri daripada Nazri Kamal dari Perak, J. Parthiban, V. Varadhan, Sabri Sahar, G. Mahathevan dan Igbal Mat Suhaimi.

Hikspoor, bekas kapten pasukan belia Belanda yang bermain dalam Dutch Eerste Division, merupakan pemain terakhir yang menyertai pasukan Sarawak setelah pemain pertahanan dari Perancis, Gabor Gypes, mengalami kecederaan ibu jari semasa latihan.

Sudarsono berkata kawalan keselamatan ketika perlawanan di Stadium Negeri juga akan diperketat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Sementara itu, FAS menawarkan kontrak kejurulatihan dua tahun kepada Fuad Grbesic dari Bosnia untuk mengetuai program pembangunan belianya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain