suria

Golf: Hadiah Sabah Masters Dinaikkan Kepada US$100,000

Kejohanan Golf Sabah Masters 2015 di Sutera Harbour Golf and Country Club bermula Rabu.

KOTA KINABALU: Pemain Thailand, Wisut Artjanawat akan mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Golf Sabah Masters 2015 di Sutera Harbour Golf and Country Club di sini, bermula Rabu.

Malah kejohanan tiga hari itu turut menyaksikan hadiah kejohanan dinaikkan dari US$75,000 (RM269,407) kepada US$100,000 (RM359,210) tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata pertambahan hadiah wang tunai itu adalah ekoran kehadiran Warisan Harta Sabah, sebuah agensi kerajaan negeri, sebagai salah satu penaja utama kejohanan berprestij itu.

"Sejak kejohanan ini dihidupkan semula pada 2011, kita telah melihat pertumbuhan pelancongan golf di negeri ini dan ia terus berkembang," katanya pada sidang media mengenai kejohanan itu pada Selasa.

Beliau yakin industri pelancongan golf akan terus kukuh menerusi publisiti meluas kejohanan ini di mana rakaman selama sejam akan disiarkan menerusi saluran Fox Sports.

Dalam pada itu, Artjanawat, yang turut hadir pada majlis itu, berkata beliau akan melakukan yang terbaik untuk mempertahankan gelarannya walaupun menyedari bahawa beliau akan bersaing dengan banyak pemain terbaik dari Asean.

Turut hadir Datuk Sari Suhut, timbalan pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Ketua Pegawai Eksekutif, Warisan Harta Sabah, Datuk Abu Bajar Abas dan PengurusBesar, Sutera Harbour Golf and Country Club, Rick Blackie.

Sabah Masters

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain