suria

Barcelona Dalam Krisis Besar...

Paparan salah sebuah media utama Sepanyol, Sport berhubung krisis yang sedang melanda kelab terkemuka Liga Sepanyol, Barcelona sekarang.

> Lionel Messi dilaporkan tidak gembira di bawah pengurus baru Luis Enrique

> Barca kini sedang menimbang apakah mereka mahu berpisah dengan Messi atau Enrique

> Luis Suarez juga berhadapan dengan krisis keyakinan diri

> Barcelona kini berhadapan dengan krisis dalaman yang kronik

> Selepas Barcelona ditewaskan 1-0 oleh Real Sociedad media massa melaporkan kelab itu di dalam krisis besar

> Lionel Messi & Neymar di bangku simpanan dalam perlawanan itu

> 24 jam selepas kekalahan itu Barca memecat pengarah bolasepak Andoni Zubizarreta

> Ia diikuti oleh peletakkan jawatan Carles Puyol sebagai pembantu Zubizarreta

> Enrique dikatakan hanya mempunyai dua perlawanan untuk mengembalikan keyakinan

MEDIA-MEDIA massa di Sepanyol pada Selasa melaporkan yang kelab gergasi negara itu, Barcelona kini sedang berada di dalam krisis dalaman yang menyaksikan beberapa pemain utama hilang keyakinan ke atas pengurus baru mereka, Luis Enrique yang juga merupakan bekas pemain legenda kelab tersebut.

Krisis tersebut dikatakan amat ketara apabila Enrique menguggurkan tiga pemain utama dan tulang belakang kelab tersebut iaitu Lionel Messi, Neymar dan Gerrard Pique dalam perlawanan menentang Real Sociedad yang menyaksikan mereka tewas 0-1.

Luis Enrique

Ia adalah kekalahan ketiga musim ini dan meletakkan kelab itu di tangga kedua di belakang Real Madrid.

Apa yang mencetuskan perdebatan dan percakapan ramai pada perlawanan itu ialah, sebaik sahaja Sociedad memperolehi gol tersebut, kamera televisyen dengan pantas mengfokuskan ke arah bangku simpanan dan merakamkan Neymar menoleh ke arah Lionel Messi dan berkata: 'Lebih baik awak panaskan badan sekarang...'

Neymar melemparkan kata-kata itu dalam nada yang bergurau dan tersenyum sedangkan tidak jauh dari situ pengurus mereka duduk dalam keadaan tertekan akibat gol tersebut.

Sehari selepas kekalahan itu juga, Andoni Zubizarreta telah dipecat sebagai pengarah bolasepak dan beberapa jam kemudian, seorang lagi legenda dan bekas kapten melepaskan jawatan sebagai penolong kepada Zubizarreta.

Tidak dijelaskan apakah yang menjadi punca kepada pemecatan Zubizarreta dan perletakan jawatan Puyol selepas itu tetapi media massa sekali lagi menjurus kepada kegagalan Zubizarreta membawa masuk bintang-bintang baru seperti Toni Kroos dan Isco yang disambar oleh musuh tradisi, Real Madrid sebaik sahaja temasya Piala Dunia tamat.

Hakikatnya, Barcelona memulakan tahun baru 2015 dalam situasi yang huru-hara selepas Mahkamah Timbang-Tara Sukan Eropah mengekalkan keputusan badan bolasepak dunia, Fifa yang menjatuhkan hukuman mengharamkan mereka daripada membeli pemain baru untuk tempoh 12 bulan.

Lionel Messi (kiri) dan Neymar.

Jika krisis di Barcelona berpanjangan dengan kini Messi dan ramai pemain ternama dilaporkan oleh media-media massa sebagai sedang berantakan dengan Luis Enrique - bermakna jika mereka menjual pemain-pemain ini, mereka tidak boleh membawa masuk pemain baru atau gantian sehingga Januari 2016.

Pada masa yang sama, media-media massa Sepanyol turut melaporkan yang Enrique telah diberi dua perlawanan sahaja lagi untuk memulihkan keadaan iaitu menentang Elche pada Ahad ini dan selepas itu berhadapan dengan Atletico Madrid, juara liga musim lalu.

Media juga melaporkan yang para pemain kanan tidak tahu di manakah nilai kedudukan mereka di mata pengurus baru ini.

Misalnya Messi, Neymar dan Dani Alves telah diberikan dua hari rehat tambahan oleh kelab itu sewaktu cuti Krismas tetapi sebaik sahaja mereka kembali ke kem latihan, mereka diberitahu oleh Enrique yang mereka tidak berlatih dengan cukup untuk diturunkan dalam perlawanan menentang Sociedad.

Ketiga-tiga bintang Barca itu tidak biasa dengan layanan yang sedemikian kerana mereka adalah pemain regular lalu menerima berita itu dalam nada dan situasi yang terkejut.

Pada era Pep Guardiola menerajui Barca, Messi sentiasa menjadi pilihan utama walaupun dia tidak menjaringkan gol tetapi kini pemain Argentina itu mendapati dia bukan lagi pilihan utama di bawah Enrique.

Memburukkan keadaan, Messi mengadu mengalami gastrik dan tidak hadir dalam latihan awal pagi pada Isnin tetapi pada masa yang sama dia aktif bermain dengan media sosial seprti Instangram mengikuti perkembangan Chelsea, Manchester City dan juga penyanyi R&B, Beyonce.

Untuk rekod, Enrique yang dilantik sebagai pengurus Barca pada musim panas lalu memang mempunyai sejarah dan reputasi tidak sebulu dengan pemain-pemain bintang dan ternama.

Ketika di Roma, dia tidak sebulu dengan bintang kelab itu, Francesco Totti dan Daniele De Rossi.

Enrique juga dipersalahkan kerana gagal menguruskan bintang baru Luis Suarez yang sehingga kini hanya mampu menjaringkan satu gol liga sahaja.

LIMA PERLAWANAN BARCA AKAN DATANG:

8 Jan: Elche - Copa del Rey

11 Jan: Atletico Madrid - La Liga

15 Jan: Elche - Copa del Rey

18 Jan: Deportivo - La Liga

24 Jan: Elche - La Liga


Artikel Sebelum

Keputusan Piala FA Inggeris

Artikel Lain