suria

PFAM Gesa PFA Segera Bayar Gaji Tertunggak Pemain

Izham Ismail (tengah) bersama skuad Perlis pada sidang media di Petaling Jaya, Selasa. Foto SHAARI CHEMAT / THE STAR

PETALING JAYA: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menggesa Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) segera menyelesaikan kemelut pembayaran gaji pemain skuad 'Singa Utara' yang tertunggak lima bulan sejak Jun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan membawa perkara tersebut ke mahkamah ataupun mendapat perhatian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Kesatuan Pemain Sedunia (FIFPro) sekiranya tiada usaha untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Katanya, seramai 12 pemain Perlis telah membuat aduan tidak bersetuju tindakan PFA yang mahu membayar tunggakan gaji bagi bulan Jun 2014 sahaja dan tidak akan membayar gaji pemain dari bulan Julai sehingga November. 

"PFAM merasakan perkara ini adalah tidak adil dan PFA telah mengingkari kontrak pemain yang telah dipersetujui bersama.

"Seramai 12 pemain yang membuat tuntutan tersebut tidak bersetuju dengan terma yang dibuat PFA dalam satu perjumpaan yang di hadiri oleh Timbalan Presiden PFA pada 11 Sept lepas," katanya dalam sidang media di sebuah kafe di Setiawalk Mall, Puchong pada Selasa.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Presiden PFAM, Hairuddin Omar dan ketua pasukan Perlis Mohd Khairi Zainuddin serta beberapa pemain.

Izham berkata, pihaknya turut bertindak membawa kes tersebut kepada perhatian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi penyerahan afidavit bertarikh 12 November lepas. 

Pihaknya juga dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Status FAM sedang meneliti tuntutan tersebut dan sehingga kini PFAM masih menunggu respons daripada badan induk sukan bola sepak itu.

Sementara itu Mohd Khairi berkata, kebanyakkan pemain Perlis yang terlibat turut membuat keputusan bersara awal dalam arena bola sepak berikutan bosan dengan masalah pembayaran gaji tersebut.

Beliau berkata, PFA sepatutnya tidak mempunyai masalah dalam pembayaran gaji kerana Perlis merupakan pasukan yang menerima tawaran gaji terendah iaitu antara RM3,000 sehingga RM7,000 berbanding pasukan lain.

"Saya berasa sungguh terkilan apabila karier saya berakhir dengan masalah seperti ini. Kami (pemain) telah banyak berkompromi dengan PFA tetapi mereka masih terus berdiam diri.

"Ada di kalangan pemain yang bukan berasal daripada Perlis terpaksa balik ke kampung halaman masing-masing dan mengalami masalah kewangan serius. Kami mempunyai keluarga yang perlu ditanggung, saya harap pihak PFA faham masalah ini," kata Mohd Khairi.

Artikel Berikut

JDT Bariskan Pemain Kebangsaan

Artikel Lain