suria

Malaysia Ketiga Terbaik, Indonesia Juara Keseluruhan AUG Ke-17

Kontinjen Malaysia berarak masuk ke stadium Sriwijaya sambil mengibarkan Jalur Gemilang pada majlis penutupan temasya Sukan Universiti Asean (AUG) ke-17 di Palembang, Ahad.

PALEMBANG: Malaysia muncul kontinjen ketiga terbaik keseluruhan pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) ke-17 Palembang yang menutup tirainya di sini Ahad.

Meskipun kontinjen negara tidak dapat mengulangi kejayaan 60 pingat emas dua tahun lepas di Laos namun pujian perlu diberikan kepada atlet-atlet muda dan baharu yang menunjukkan prestasi cemerlang di Palembang. 

Malaysia meraih 40 pingat emas, 42 perak dan 49 gangsa.  

Indonesia selaku tuan rumah muncul juara keseluruhan, dengan 66 emas, 78 perak dan 46 gangsa, diikuti Thailand dengan 53 emas, 34 perak dan 27 gangsa. 

Ketua kontinjen Malaysia, Datuk Prof Dr Abdullah Mohamad Said berkata, pihaknya tetap berpuas hati dengan pencapaian atlet negara yang merupakan mahasiswa institusi pengajian tinggi.   

"Saya puji komitmen atlet negara dan mahasiswa yang bertanding di Palembang dalam membantu kontinjen mencapai sasaran yang ditetapkan tetapi secara peribadi masih banyak yang perlu diperbaiki terutama prestasi atlet negara," katanya. 

Upacara penutup AUG edisi Palembang berlangsung meriah di Stadium Sriwijaya Jakabaring, malam Ahad. Ia disempurnakan oleh Menteri Pemuda dan Olahraga Imam Nahrawi. 

Tetamu kehormat yang hadir ialah Gabenor Sumatera Selatan Alex Noerdin.  

Presiden Majlis Sukan Universiti Asean Prof Dr Anuar Hassan menyerahkan bendera kejohanan kepada Naib Presiden Majlis Olimpik Nasional Singapura, Ng Ser Miang. 

Singapura akan menjadi tuan rumah AUG ke-18 pada 2016.

Artikel Sebelum

Keputusan Serie A

Artikel Berikut

Artikel Lain