suria

Saya Bukan Ahli Silap Mata - Dollah

PETALING JAYA: Selepas terpaksa berdepan pelbagai ejekan, tohmahan dan kritikan sejak Jun lalu, Dollah Salleh akhirnya berjaya membuktikan sikap tenang dan fokus dalam mengharungi dugaan mampu membuahkan hasil.

Biarpun belum pasti dapat mendakap Piala AFF Suzuki, namun sekurangnya-kurangnya impian itu bukan perkara mustahil untuk dikecapi.

Sebaliknya hasrat menjuarai saingan itu akan terlaksana jika sebelas pemain yang dipilih untuk beraksi di pentas akhir di Bangkok pada Rabu mampu menggandakan untuk mengetepikan anak buah Kiatisuk Senamuang yang membimbing skuad berkenaan.

Bagi Dollah yang membimbing skuad Harimau Malaya sejak Jun lalu, segala pujian dan kritikan terhadap seorang jurulatih merupakan asam garam dunia bola sepak.

"Menang dipuji, kalah dikritik.

"Semuanya dianggap sebagai rezeki dan setiap orang tahu tugas ini bukanlah mudah, lebih-lebih lagi memegang jawatan utama dalam sukan yang menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia.

"Saya baru saja pegang, orang dah nak halau. Sepatutnya mereka perlu tahu setiap pengurusan perlukan masa untuk berjaya. Sama juga ketika saya memegang pasukan MPPJ Selangor, Pahang dan PDRM dan lihatlah hasilnya.

"Bukan sehari saya boleh buat magis kerana saya bukan ‘magician’, tetapi saya boleh buat magis,” katanya kepada mStar Online.

Pasukan Malaysia yang terkandas di saingan separuh akhir dua tahun lalu selepas menjulang trofi Piala AFF Suzuki pada 2010 akan berdepan  juara tiga kali iaitu skuad Gajah Perang pada aksi final pertama di Bangkok, manakala saingan kedua di Stadum Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.

Harimau Malaya melangkah ke final selepas mengetepikan Vietnam secara agregat 5-4, manakala Thailand menewaskan Filipina 3-0.

Sebagai rekod, dalam 11 pertemuan di antara kedua-dua negara sepanjang Piala AFF Suzuki sejak  1996, Thailand berjaya mencatat enam kemenangan, manakala Malaysia dua. Baki tiga perlawanan berakhir dengan keputusan seri.

Daripada 11 perlawanan itu, Thailand menjaringkan 16 gol manakala Malaysia 9.

Perlawanan akhir kali ini juga bukan sahaja menjadi tumpuan Malaysia yang mahu mendakap piala berkenaan, tetapi Thailand turut kempunan untuk mengakhiri nasib malang selepas bergelar juara pada 2002.

Peminat bola sepak Thailand turut yakin sentuhan Senamuang yang merupakan Pemain Paling Bernilai dalam kejohanan itu pada tahun 2000 bakal menjadi sebahagian ramuan kemenangan mereka.

Bagaimanapun, Harimau Malaya yang mampu mencipta magis juga menjadi harapan penyokongnya.

Artikel Berikut

Keputusan Kelab Piala Dunia

Artikel Lain