suria

Bola Sepak Negara Perlu Taktik Baharu Untuk Kembali Gemilang

KUALA LUMPUR: Pemain skuad Harimau Malaya perlu berfikir di luar kotak dan mencari taktik baharu yang lebih tajam dan kreatif bagi mengembalikan semula kegemilangan bola sepak negara.

Pengkritik sukan tanah air, Prof Emeritus, Tan Sri Dr Khoo Kay Kim hari ini berkata sukan bola sepak kini memerlukan aksi tangkas dan rentak permainan yang sukar dibaca pihak lawan.

Mengulas kejayaan skuad negara itu melangkah ke final Piala AFF Suzuki 2014, katanya skuad bimbingan Dollah Salleh itu diminta supaya tidak terlalu yakin apabila berdepan dengan Thailand.

Bagaimanapun, kejayaan skuad negara melangkah ke final adalah kejayaan seluruh rakyat Malaysia, katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Malaysia akan menentang Thailand pada 17 dan 20 Disember ini dalam format timbal balik dan ini adalah final ketiga untuk skuad Harimau Malaya selepas layak ke final pada 1996 dan muncul juara pada 2010.

"Kemenangan ini satu peluang bagi kita. Semarakkan semangat dan ambil aura sokongan padu seluruh rakyat negara ini untuk terus berjuang, main lebih bersemangat hingga Malaysia muncul juara," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata skuad Harimau Malaya kini dilihat berjuang bersungguh-sungguh hingga ke wisel penamat.

Beliau berkata mutu bola sepak negara juga sebenarnya mula meningkat, namun memerlukan taktik dan teknik yang lebih tangkas untuk berdaya saing di peringkat lebih tinggi.

Artikel Berikut

Artikel Lain