suria

Piala AFF Suzuki: Malaysia Mara Ke Final Bertemu Thailand

Safiq Rahim (atas) meraikan bersama rakan pasukan selepas menjaringkan gol pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Vietnam di Stadium My Dinh di Hanoi, Vietnam malam Khamis. Foto EPA

PASUKAN Malaysia mara ke final Piala AFF Suzuki selepas empat tahun dengan mengetepikan tuan rumah, Vietnam secara agregat 5-4 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh di Hanoi, Vietnam malam Khamis.

Skuad bimbingan Dollah Salleh bangkit meraih kemenangan 4-2 sekaligus melakarkan rekod ketiga mara ke final kejohanan dwi tahunan ini selepas tahun 1996 dan 2010.

Selepas mempamerkan aksi tidak kemas di Stadium Shah Alam pada saingan separuh akhir pertama Ahad lalu, skuad Dollah menunjukkan belang di laman lawan melalui Safiq Rahim menjaringkan gol seawal minit keempat permainan melalui sepakan penalti.

Penyerang sensasi, Norshahrul Idlan Talaha yang dikritik kerana gagal menyumbang sebarang gol sebelum ini akhirnya membuktikan sentuhannya masih berbisa  dengan menambah gol kedua negara pada minit ke-16.

Tensentak dengan dua jaringan itu, Vietnam menyamakan kedudukan agregat 3-3 melalui sepakan penalti pada minit ke-22 oleh Le Cong Vinh.

Jaringan sendiri oleh pemain Vietnam Dinh Tien pada minit ke-29 menjadikan Malaysia mendahui dengan jaringan 3-1.

Penampilan kapten pasukan Shukor Adan yang tidak beraksi pada Ahad lalu kerana digantung satu permainan memberi nafas baharu aksi baik skuad Harimau Malaya malah turut menjaringkan gol keempat pada babak pertama pada minit ke-44 permainan.

Bersambung ke babak kedua, Vietnam cuba mengatur serangan dengan menguasai posisi bola dan cuba mencari gol penyamaan.

Skuad Harimau Malaya dilihat lebih banyak bertahan dan cuba menghalang gerakan pantas pemain-pemain Vietnam daripada menjaringkan gol.

Minit ke-68 penjaga gol negara, Farizal Marlias melakukan sedikit kesilapan walaupun cuba mengeluarkan bola sehingga di luar kotak penalti, namun mujurlah kesalahan pemain tuan rumah  menyelamatkan kedudukannya.

Minit ke-78 Cong Vinh menjaringkan gol kedua Vietnam selepas terlepas daripada benteng pertahanan Malaysia.

Malaysia berjaya mendahului kedudukan 4-2 sehingga tamat permainan.

Menunggu Malaysia pada aksi final nanti ialah juara tiga kali, Thailand (1996,2000,2002).

Kali terakhir Malaysia bertemu Thailand di pentas akhir pada tahun 1996 yang menyaksikan Thailand menang 1-0 sekaligus menjulang trofi kejohanan buat kali pertama.

Pusingan akhir pertama pada 17 Disember manakala aksi timbal balik pada 20 Disember di Kuala Lumpur.

Senarai pemain:

Vietnam: Le Phuoc Tu, Dinh Tien Thanh, Nguyen Van Bien, Ngo Hoang Thinh, Le Cong Vinh, Nguyen Van Quyet, Que Ngoc Hai, Pham Thanh Luong, Tran Nguyen Manh, Vo Huy Toan, Nguyen Huy Hung

Malaysia: Mohd Farizal Marlias, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha, Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Badhri Radzi, S. Kunanlan, Amri Yahyah, Azammuddin Mohd Akil, Muhammad Zubir Mohd Azmi, Mohamad Fadli Shas


Piala AFF Suzuki, Malaysia, Final

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain