suria

Roy Keane Letak Jawatan Di Aston Villa

ROY Keane melepaskan jawatannya sebagai penolong pengurus Aston Villa, Jumaat malam.

Bekas pemain tengah Manchester United berusia 43 tahun ini menyertai kelab England itu pada Julai lalu sebagai pembantu kepada Paul Lambert, namun hanya bertahan dalam tempoh lima bulan sahaja.

Bagaimana pun dia masih lagi menjadi pembantu pengurus kepada Martin O’Neill dalam mengendalikan skuad kebangsaan Republik Ireland.

“Tugas saya di Villa dan Ireland, menggabungkan komitmen menjadi sesuatu yang sukar dijangkakan.

“Tidak adil untuk Villa atau Ireland, jadi saya telah membuat keputusan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Paul yang memberi peluang keemasan ini dan saya benar-benar menghargai pengalaman di sini. Saya doakan agar pengurusan Villa, pemain-pemain dan semua penyokong akan terus maju,” jelasnya.

Sementara itu, Lambert menerima permohonan Keane ini dan berkata: “Roy datang menemui saya pagi ini (Jumaat) dan memberitahu situasinya yang sukar untuk mengendalikan dua tugas dalam satu masa. Saya menghormati keputusannya itu.

“Dalam tempoh yang singkat ini, kami telah bekerja sama dengan baik dan memahami mengapa beliau meninggalkan kelab ini,” katanya.

Villa memulakan aksi yang baik dengan menang ke atas Liverpool dan Stoke pada aksi perlawanan pembukaan, namun prestasi semakin buruk selepas itu.

Mereka tidak mencatat sebarang kemenangan sejak aksi pertengahan September lalu dan hanya mencatat dua seri dalam dua perlawanan terakhir.

Mereka kini berada dalam keadaan berjaga-jaga di kedudukan ke-16 liga, hanya kelebihan dua mata daripada pasukan yang berada di dalam zon penyingkiran.

Artikel Berikut

Jadual Piala AFF Suzuki

Artikel Lain