suria

PPS Terima Surat Rayuan Dari PKBM

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Sukan, Ahmad Shapawi Ismail mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima surat rayuan daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) beberapa minit sebelum Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS), Bukit Jalil, ditutup 5 petang Isnin.

Ahmad Shapawi berkata PKBM turut menyertakan bersama penjelasan bertulis perkara-perkara yang telah diperbetulkan dalam laporan kewangan tahunan badan induk sukan berbasikal negara itu.

"Kita di PPS akan segera meneliti dokumen itu bersama dengan unit Audi tDalaman Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat ini," katanya.

PPS sebelum ini mengambil tindakan menggantung PKBM selama sebulan bermula 24 Oktober, selepas badan induk berbasikal kebangsaan itu didapati gagal menjawab surat tunjuk sebab mengenai segala persoalan yang timbul dalam siasatan yang dijalankan terhadap mereka pada Oktober lepas .

Dalam tempoh itu, PKBM perlu memperbaiki segala kesalahan seperti yang diarahkan.

Kemelut PKBM bermula berikutan kegagalan skuad lebuh raya negara memenangi pingat emas ketika temasya Sukan SEA Myanmar 2013 biarpun menerima peruntukan bernilai jutaan ringgit yang disalurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) setiap tahun.

Rentetan kegagalan itu menyebabkan Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin  mengarahkan unit Audit Dalaman KBS menjalankan siasatan ke atas PKBM untuk mengetahui jumlah sebenar peruntukan tahunan yang disalurkan kepada badan induk itu dan perbelanjaan yang digunakan mereka untuk program skuad  lebuh raya negara.

Hasil audit tersebut menyebabkan PKBM diarahkan digantung pendaftarannya oleh Pesuruhjaya Sukan atas dakwaan menyalahi Seksyen 14 Akta Pembangunan Sukan apabila wujud kelemahan dalam tatacara pengurusan kewangannya.

PKBM, PPS

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Artikel Berikut

Artikel Lain