suria

Piala AFF Suzuki: Matyo Mahu Akhiri Rekod Setahun Tanpa Gol

Matyo (kanan) selepas menjalani latihan di Woodland, Singapura pada Jumaat.

SINGAPURA: Penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha mengakui prestasinya masih 'di bawah par'.

Prestasi pemain berusia 28 tahun yang dikenali dengan panggilan 'Matyo' ini berada ditahap sukar dijangka selepas skuad Harimau Malaya tewas 3-0 kepada Syria dan 3-1 dengan Vietnam pada aksi perlawanan persahabatan minggu lalu.

Seperti biasa, seorang penyerang diadili dengan jumlah gol yang dilakukannya. Dan gol terakhir Norshahrul yang dijaringkan untuk skuad kebangsaan ialah pada Oktober 2013.

Jaringan tunggal itu ketika aksi seri bertemu Bahrain pada saingan Kelayakan Piala Asia AFC 2015.

Bagaimana pun harapan masih lagi diberikan kepada penyerang kreatif ini menjelang Piala AFF Suzuki menentang Myanmar bagi Kumpulan B di Jalan Besar, Singapura pada Ahad (23 Nov).

"Permainan saya semakin baik, lebih-lebih lagi ketika dua aksi perlawanan persahabatan sebelum ini.

"Namun saya masih belum berpuas hati dengan prestasi saya," jelasnya selepas tamat sesi latihan di Sekolah Sukan Singapura di Woodland pada Jumaat.

"Saya sepatutnya menggunakan peluang ketika bertemu Vietnam sebaik-baiknya. Kita boleh menang jika saya menjaringkan gol.

"Jadi saya kecewa dengan diri sendiri.

"Sudah lama saya tidak menjaringkan gol untuk pasukan negara, dan saya sangat berharap dapat mengakhiri situasi itu.

"Sudah tentu ia sesuatu yang penting jika saya dapat menjaringkan gol pada perlawanan bertemu Myanmar nanti," jelasnya.

Norshahrul yang bakal beraksi dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi Liga Malaysia musim depan akan berganding dengan Amri Yahyah dalam aksi penting di Kota Singa ini.

"Kami bermain baik ketika perlawanan dengan Vietnam baru-baru ini. Malah semua pemain lain juga bekerja keras ketika sesi latihan," jelasnya yang menjadi salah seorang pemain ketika Malaysia menjuarai piala ini pada tahun 2010.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain