suria

NS Tamat Kontrak Jurulatih V.Sundramoorthy

V. Sundramoorthy.
SEREMBAN:Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) telah menamatkan kontrak ketua jurulatih V. Sundramoorthy lebih awal kerana gagal membawa pasukan itu kembali ke Liga Super musim depan.

Sundramoorthy, bekas ketua jurulatih skuad Lions XII dari Singapura, mengikat kontrak dua tahun untuk membimbing pasukan negeri dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Selain Sundramoorthy, PBNS telah mengambil tindakan drastik dengan menamatkan kontrak sekurang-sekurang lapan pemain kerana gagal mempamerkan prestasi cemerlang.

Menteri Besar, yang juga Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata mereka kini sedang mencari penganti Sundramoorthy yang mampu membawa pasukan itu layak ke Liga Super pada musim 2016.

"PBNS mengambil langkah drastik dengan melakukan rombakan besar-besar dalam misi memberi saingan lebih bermakna dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim 2015," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri di sini, Rabu.

Beliau berkata menamatkan kontrak jurulatih dan pemain dengan lebih awal walaupun masih berbaki setahun merupakan perkara biasa dalam dunia sukan, sambil menjelaskan PBNS berhak menamatkan kontrak pada bila bila masa apabila jurulatih atau pemain gagal memenuhi aspirasi pasukan.

"Kita akan menggantikan Sundramoorthy dengan ketua jurulatih baharu yang mampu membawa pasukan layak ke Liga Super pada musim 2016. Kami memerlukan seorang jurulatih yang benar-benar komited dengan tanggungjawab yang diamanahkan," katanya.
 
Dalam saingan Liga Perdana musim ini, skuad Rusa itu hanya mampu menduduki tangga keenam dengan hanya memenangi lapan daripada 22 perlawanan liga.

Mohamad menyifatkan kegagalan pasukan musim ini disebabkan pemain tidak bermain dengan sepenuh hati dan tidak mempunyai semangat berpasukan.

Menurutnya PBNS sedang dalam proses mengambil beberapa pemain yang dirasakan boleh memberi impak kepada prestasi serta semangat baharu kepada skuad negeri itu dalam menghadapi saingan musim depan.


Artikel Lain