suria

Hoki Piala Sultan Johor: Impian Malaysia Ke Final Musnah, Tewas 3-2 Kepada Britain

Pemain Malaysia Azuan Hasan mengasak pemain Great Britain Robert Farrington pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor kali ke-4 di Stadium Hoki Taman Daya Johor Baharu pada Rabu.

JOHOR BAHARU: Malaysia boleh melupakan impian untuk ke final apabila kalah 3-2 kepada pasukan pilihan, Great Britain pada perlawanan ketiga Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2014 Rabu malam.

Great Britain mengekalkan rekod tanpa kalah apabila membuka jaringan seawal minit kelima menerusi Benjamin Boon, hasil hantaran lintang Samuel French.

Seminit kemudian, French, yang masih melihat kelekaan pertahanan Malaysia, sekali lagi membuat hantaran lintang dari sebelah kiri dan dibias oleh David Goodfield ke dalam gawang untuk gol kedua Great Britain.

Malaysia cuba merapatkan jurang gol dengan beberapa cubaan namun pergerakan mereka mudah dipatahkan sehingga tamat separuh masa.

Bagaimanapun, anak buah Arul Selvaraj, bangkit dengan lebih bersemangat pada babak kedua perlawanan dengan mengatur gerakan yang lebih kemas untuk memburu gol.

Hanya seminit selepas melangkah ke separuh masa kedua, Sufi Ismat Rohulamin berjaya mencuri bola di hadapan gawang gol sebelum menewaskan penjaga gol Harry Gibson.

Gol tersebut memberi keyakinan kepada pasukan Malaysia untuk meningkatkan lagi penguasaan bola namun kubu pasukan bimbingan jurulatih Jon Bleby ternyata kebal untuk ditembusi.

Great Britain yang terpaksa bekerja lebih keras untuk menambah gol dan peluang itu hadir apabila diberi pukulan sudut penalti pada minit ke-62 dan berjaya disempurnakan oleh Luke Taylor untuk gol ketiga.

Tidak goyah dengan jaringan itu, Malaysia terus mencari gol dan apabila dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-65, Muhammad Sharil Shaabah tidak mensia-siakannya untuk gol kedua pasukan negara.

Great Britain mengungguli kedudukan carta pada kejohanan bawah 21 tahun itudengan sembilan mata manakala Malaysia menghuni tangga kelima daripada enam pasukan dengan hanya satu mata.

Dalam perlawanan sebelum itu, Australia hanya mengambil masa 10 minit untuk bangkit daripada ketinggalan tiga gol untuk mengalahkan New Zealand 4-3.

Kebangkitan Australia itu bermula dengan jaringan sudut penalti oleh Andrew Scanlon pada minit ke-50 dan diikuti dengan 'set piece' oleh Joshua Bretherthon (minit ke-54), serta gol padang oleh Oliver Crane (57') dan Maximillan Hendry pada minit ke-62.

Gol New Zealand sebelum itu diperolehi melalui pukulan sudut penalti oleh Nic Woods dan Daniel Panchia masing-masing pada minit kedua dan minit ke-35 serta gol padang oleh Kim Kingstone pada minit ke-41.

Australia kini menghuni tangga kedua dengan tujuh mata manakala New Zealand di tangga keempat dengan satu mata.

Dalam pada itu, India membelasah musuh tradisinya Pakistan 6-0.

Gol separuh masa pertama diperolehi melalui pukulan sudut penalti Imran Khan pada minit ke-22 dan gol padang Parvinder Singh pada minit ke-34.

Di separuh masa kedua, Pakistan cuba merapatkan jurang gol namun cubaan mereka yang tidak cukup berbisa mudah dipatahkan oleh barisan pertahanan India.

India menambahkan duka Pakistan dengan melebarkan gol melalui jaringan Armaan Qureshi pada minit ke-49 serta pukulan sudut penalti oleh Harmanpreet Singh, Varun Kumar dan Armaan Qureshi masing-masing pada minit ke-53, 67 dan 69.

India menduduki tangga ketiga dengan enam mata manakala Pakistan tercorot dengan satu mata.

hoki, piala sultan johor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain