suria

LPGA Malaysia: Stacy Dahului Satu Pukulan

Stacy semasa beraksi pada hari pertama Kejohanan Golf Sime Darby Ladies Professional Golf Association (LPGA) Malaysia 2014 di Kuala Lumpur and Country Club (KLGCC) di sini,Khamis.
KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia, Stacy Lewis merakamkan enam bawah par 65 untuk mendahului pusingan pertama dengan kelebihan tipis satu pukulan pada Kejohanan Golf Sime Darby LPGA Malaysia 2014 di sini, Khamis.


Pemain Amerika Syarikat itu membenam tiga birdie pada sembilan lubang pertama untuk menyamakan kedudukan dengan empat pemain Korea Selatan, yang menamatkan saingan dengan lima bawah par 66.

Bagaimanapun, Stacy melakarkan pukulan birdie pada lubang ke-16 untuk mengatasi empat pencabar Korea itu dengan kelebihan satu pukulan pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai US$2 juta (RM6.53 juta).

"Matlamat saya adalah untuk merakamkan satu atau dua pukulan bawah par pada sembilan lubang pertama tetapi berjaya mendapat tiga bawah par dan ini merupakan permulaan yang baik.

"Agak goyah pada tiga lubang pertama tetapi saya mampu bertahan dan bertuah dapat melakukan beberapa birdie," katanya.

Katanya, walaupun beliau sentiasa memerhatikan kedudukan pemain lain tetapi ia tidak menjejaskan permainannya.

"Sebenarnya saya suka melihat papan markah dan apabila melihat pemain di hadapan melakukan banyak pukulan birdie, saya tahu saya perlu melakukan beberapa pukulan birdie," katanya.

Mengekori rapat di lapangan Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) ialah empat pemain Korea iaitu Ji Eun-Hee, Ryu So Yeon, Park Hee Young dan bekas juara 2011, Choi Na Yeon.

Na Yeon, yang memulakan saingan daripada lubang ke-10, melakukan bogey pada lubang kedua tetapi ia tidak menjejaskan konsentrasi untuk bangkit semula.

"Saya semenangnya berpuas hati dengan persembahan saya walaupun melakukan pukulan bogey....nasib baik bola tidak masuk ke dalam kolam. Pukulan putt juga menjadi dan harap dapat kekal prestasi ini sehingga pusingan akhir Ahad ini," katanya.

Sementara itu, juara bertahan Lexi Thompson dari Amerika Syarikat mengharungi pusingan pertama dengan pukulan par 71, sekali gus menduduki tangga ke-42, sama catatan dengan 14 pemain lain.


LPGA Malaysia, Stacy Lewis

Artikel Lain