suria

Skuasy Wanita Malaysia Raih Emas Ketiga Negara

TAHNIAH... Atlet skuasy wanita (dari kiri) Low Wee Wern, Datuk Nicol David, Delia Arnold dan Vanisha Raj meraikan kemenangan mereka selepas menewaskan India 2-0 dalam perlawanan akhir Skuasy Berpasukan Wanita di Pusat Skuasy Yeorumul pada Temasya Sukan Asia ke-17, Incheon, Sabtu. -fotoBERNAMA
INCHEON: Pasukan skuasy wanita Malaysia menguasai acara skuasy pada kejohanan Sukan Asia ke-17, di sini selepas menewaskan India pada perlawanan akhir, Sabtu.

Pasukan skuasy wanita Malaysia yang diketuai pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David, Low Wee Wern, Delia Arnold dan Vanessa Raj, menewaskan India, 2-0.

Kemenangan itu membolehkan kontinjen Malaysia menambah pungutan pingat emas ketiga di Sukan Asia Incheon.

Pemain ketiga Malaysia, Delia bermula baik dengan menewaskan Ananka Alankamony 11-9, 12-10 dan 11-2 dalam perlawanan sengit 43 minit yang berlangsung di Yeorumul Squash Courts.

"Saya berasa sedikit tekanan pada mulanya. Apabila saya mula bertenang semasa pertengahan set kedua, saya mula bermain lebih baik dan pukulan saya baik," katanya.

Pemenang pingat emas individu wanita, Nicol mempamerkan prestasi mengagumkan ketika bertemu Dipika Rebecca Pallikal sekali gus merangkul mata kemenangan.

Beliau hanya mengambil masa 29 minit untuk menewaskan Dipika dalam pelawanan straight set 11-7, 11-6 dan 11-3.

"Saya begitu berbangga untuk bersama-sama pasukan yang baru sahaja memenangi emas kedua negara di Sukan Asia. Kemenangan pingat emas berturut-turut tidak mudah dan pasukan berjaya bekerjasama dan saya begitu berbangga.

"Kami semua telah berlatih bersungguh-sungguh untuk perlawanan ini," kata Nicol.

Ia juga merupakan pingat emas keenam, Nicol sejak menyertai Sukan Asia.

Beliau telah memenangi enam pingat emas dan berkongsi kemenangan itu bersama-sama Tan Sri Dr M. Jegathesan (olahraga), Ng Boon Bee (badminton) dan Shalin Zulkifli (boling).

Nicol memenangi pingat emas pertama acara perseorangan di Bangkok pada tahun 1998, namun gagal mempertahankannya di Busan pada 2002 setelah tewas kepada pemain Hong Kong, Rebecca Chiu dalam perlawaan akhir.

Nicol kemudian bangkit untuk merangkul juara sekali lagi di Doha pada tahun 2006 dan di Guangzhou pada tahun 2010.

Pungutan pingat emas Nicol seterus diperoleh dalam acara berpasukan yang diperkenalkan buat pertama kali di Guangzhou.
Sukan Asia ke-17, Skuasy, Nicol David

Artikel Berikut

Artikel Lain