suria

Futsal AFF: Australia Dan Thailand Mara Ke Final

Pemain futsal Thailand, Atirat Sittisak (tengah) dikawal ketat oleh pemain dari Vietnam ketika cuba menyerang ke gawang lawan pada Kejohanan Futsal AFF 2014 di Stadium Melawati pada Khamis.

SHAH ALAM: Juara bertahan Thailand membuktikan mereka berada di landasan terbaik untuk memburu gelaran ke-10 Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2014 apabila menentang Australia pada final di Stadium Malawati di sini, Sabtu ini.

Pada perlawanan separuh akhir Khamis, Thailand menang tipis 1-0 ke atas juara 2010, Indonesia manakala Australia mengalahkan Vietnam 4-3 dalam masa tambahan.

Wanlop Pansomsua mengesahkan slot Thailand ke final dengan jaringan tunggal pada minit ke-39.

Jurulatih Thailand, Victor Jacobus berkata beliau berpuas hati dengan persembahan dan komitmen pemain mudanya dan menuntut anak buahnya supaya terus fokus pada perlawanan akhir.

Sebagai rekod, Thailand menjuarai kejohanan itu pada 2001, 2003, 2005, 2006,2007, 2008, 2009, 2012 dan 2013.

Sementara itu, Daniel Steven Fogarty menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-48 dalam masa tambahan bagi membantu Australia ke pentas final selepas kedudukan terikat 3-3 selepas perlawanan masa penuh.

Bagaimanapun, Vietnam membuka tirai jaringan menerusi Phung Trong Luan pada minit ketujuh sebelum Australia menyamakan kedudukan menerusi Jarrod Marcus Basger pada minit ke-19.

Pada babak kedua, Fogarty meletakkan Australia di hadapan dengan jaringan pada minit ke-22 sebelum Phung menyamakan kedudukan Vietnam, empat minit kemudian.

Pada minit ke-27, Australia sekali lagi mendahului saingan dengan jaringan Gregory James Giovenali tetapi kedudukan itu tidak bertahan lama apabila NguyenBao Quan mengheret perlawanan ke masa tambahan selama 10 minit dengan jaringan penyamaan pada minit ke-39.

futsal AFF, Australia, Thailand

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain