suria

Sukan Asia: Azizulhasni Terlepas Pingat Gangsa Acara Pecut

Azizulhasni Awang gagal memintas kepantasan pelumba Jepun Tomoyuki Kawabata dalam pusingan pertama acara pecut lelaki di Velodrom Antarabangsa Incheon,Rabu.

INCHEON: Kesilapan percaturan gear berikutan cuaca mendung menyebabkan jaguh trek negara Azizulhasni Awang gagal meraih pingat gangsa dalam acara pecut lelaki pada Sukan Asia ke-17 pada Rabu.

Pelumba dengan nama jolokan 'The Pocketrocket Man', sekadar mendapat tempat keempat selepas tewas kepada pelumba China, Bao Saifel 2-1 dalam penentuan gangsa.

Terdahulu, pelumba berusia 26 tahun itu gagal ke final selepas kalah 2-0 kepada pelumba Jepun, Tomoyuki Kawabata pada saingan separuh akhir.

"Kecewa dan sedih sebab saya datang dengan penuh semangat. Rasa semua okay dan sasaran untuk bersaing pingat emas. 

"Mungkin silap menggunakan gear kerana susah nak ramal hari ini sebab cuaca mendung dan keadaan angin tidak menentu.

"Saya masih pakai gear yang sama semalam (Selasa). Lepas habis perlumbaan, baru dapat tahu pelumba Jepun itu pakai gear lebih besar," katanya.

Katanya beliau juga kecewa kerana gagal menghadiahkan pingat seperti yang dijanjikan kepada anak kesayangan beliau, Amna Maryam yang berusia hampir dua tahun.

"Insya-Allah, saya akan sumbang pingat dalam acara keirin," katanya yang akan mempertahankan pingat emas dalam acara kegemarannya itu pada Khamis.

Sementara itu, pelumba wanita negara Fatehah Mustapa mempunyai peluang menambah pingat selepas pingat perak dalam acara keirin apabila mara ke separuh akhir acara pecut esok.

Pada saingan suku akhir hari ini, Fatehah menewaskan pelumba Korea Selatan Lee Hyejin 2-0 dan akan berdepan pelumba China, Zhong Tianshi pada separuh akhir. 

Azizulhasni, Sukan Asia

Artikel Berikut

Sneijder 'tolak' MU

Artikel Lain