suria

Juara Bertahan Ryan Moore Sertai CIMB Classic 2014

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Ryan Moore dari Amerika Syarikat merupakan antara bintang awal yang mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Golf CIMB Classic 2014 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) dari 30 Oktober hingga 2 November ini.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Kumpulan CIMB, Effendy Shahul Hamid berkata selain Moore, pemain nombor tiga dunia, Sergio Garcia, juara Piala FedEx 2014, Billy Horschel turut mengesahkan penyertaan masing-masing.

Bagi merancakkan kejohanan bernilai US$7 juta (RM22.637) itu, beliau dalam kenyataan pada Jumaat berkata, pemain termuda dalam sejarah Masters, Guan Tianlang telah menerima jemputan penaja untuk bersaing pada kejohanan itu.Pelajar sekolah dari China itu muncul sebagai pemain termuda apabila menyertai Kejuaraan Masters ke-77 di Augusta, Georgia, Amerika Syarikat, ketika berusia 14 tahun, tahun lepas.

Beliau memecahkan rekod yang pernah dilakar oleh Matteo Manassero dari Itali apabila melakukan penampilan di kejohanan berprestij itu ketika berusia 16 tahun pada 2010.

Malaysia akan diwakili oleh dua pemain iaitu Danny Chia, juara pusingan kelayakan kebangsaan Sapura Kencara, dan seorang lagi pemain tempatan yang menduduki ranking teratas dalam senarai dunia yang akan dikeluarkan pada 20 Oktober ini.

Kejohanan edisi kelima itu akan menampilkan 78 pemain iaitu 60 daripada Jelajah PGA, 10 daripada Jelajah Asia dan lapan pemain penaja termasuk dua pemain Malaysia.

Golf, cimb classic

Artikel Lain