suria

Hafizh Hanya Mampu Raih Tempat Ke-20

Hafizh Syahrin Abdullah.
SAN MARINO: Pelumba muda Moto3 negara Hafizh Syahrin Abdullah hanya mampu menduduki tempat ke-20 daripada 32 pelumba dalam perlumbaan MotoGP Grand Prix San Marino di Litar Dunia Misano, dekat sini Ahad.

Pelumba pasukan Petronas Raceline Malaysia itu, yang bermula saingan di petak ke-25, terpaksa berusaha keras untuk menyesuaikan diri dengan litar yang mengelirukan berikutan jarak dan reka bentuk litar tersebut.

Keputusan hambar itu menyaksikan Hafizh Syahrin jatuh satu anak tangga kepada kedudukan ke-20 keseluruhan dalam carta kejuaraan musim ini dengan mengumpul 29 mata.

"Saya tidak puas hati dengan perlumbaan kerana tahu saya boleh meraih kedudukan yang lebih baik daripada ini namun salah satu penyebab ialah saya tidak mempunyai permulaan yang baik apabila terlepas beberapa peluang pada selekoh pertama.

"Sekiranya kami mempunyai lebih banyak sesi latihan di litar yang kering pada Jumaat, kami mungkin dapat menyediakan jentera yang sempurna untuk perlumbaan.

"Saya harap untuk mencapai sesuatu pada perlumbaan seterusnya di Litar Aragon (Sepanyol) selepas pernah berlumba di litar itu dalam kategori CEV sebelum ini," katanya yang mencatatkan masa 42 minit 91.660s.

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman daripada pasukan Idemitsu Honda Team Asia menamatkan perlumbaan di tempat tercorot selepas merakamkan catatan masa 43:22.564s.

Perlumbaan tersebut dimenangi pelumba Sepanyol, Esteve Rabat daripada pasukan Marc VDS Racing Team dengan masa 42:48.724s manakala tempat kedua disadang oleh rakan sepasukan Mika Kallio dari Finland dengan catatan masa 42:50.995s.

Pelumba Perancis, Johann Zarco daripada pasukan AirAsia Caterham Motor Racing Team racer, memenangi tempat ketiga dengan masa 42:52.992s.

Dalam kategori Moto3, pelumba Malaysia Muhammad Zulfahmi Khairuddin ( Ongetta-AirAsia) meraih tempat ke-14 dengan masa 40:06.179s manakala seorang lagi wakil negara Amirul Hafiq Azmi (SIC-AJO) mencatatkan masa 40:45.906s untuk tempat ke-23.
MotoGP, Grand Prix San Marino

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

MotoGP: Rossi Kuasai Litar Misano

Artikel Lain