suria

Chong Wei Setuju Cadangan Lantik Pengarah Teknikal Badminton

Chong Wei (tengah) bersama barisan tetamu kehormat dan para artis tempatan yang hadir sempena pelancaran Kempen Salute Malaysia dan Lagu Rasmi di Kuala Lumpur pada Rabu. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei berkata cadangan pelantikan pengarah teknikal untuk sukan itu dilihat penting bagi memastikan sukan badminton negara terus berdaya saing pada masa akan datang.

Beliau berkata cadangan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk melantik seorang pengarah teknikal adalah tepat demi kemajuan sukan badminton negara.

"Kita lihat beliau (Khairy) sentiasa berusaha untuk menaikkan mutu badminton negara, jadi cadangan beliau untuk melantik seorang pengarah teknikal di BAM sangat bagus demi memajukan sukan badminton," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kempen dan Lagu Salute Malaysia di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini Rabu.

Media baru-baru ini melaporkan Khairy sebagai berkata kementeriannya dan pengurusan BAM kini mencari calon yang layak bagi jawatan pengarah teknikal dengan beberapa nama termasuk dari negara China turut dibincangkan.

Mengulas persediaannya bagi menghadapi Sukan Asia di Incheon pada 19 September ini, Chong Wei berkata aspek ketahanan mental perlu ditingkatkan selepas beliau tewas pada Kejohanan Dunia BWF di Copenhagen, Denmark pada Ahad lepas.

"Persediaan mental perlu ditingkatkan lagi untuk menghadapi Sukan Asia selepas ini. Lin Dan (jaguh China) turut akan beraksi pada Sukan Asia nanti. Esok saya memulakan latihan, saya akan terus berusaha walaupun saingan bertambah sengit dengan penyertaan negara-negara Asia," katanya.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas di Sukan Asia ialah menerusi mendiang Datuk Punch Gunalan pada tahun 1970 di Bangkok. 

Manakala Chong Wei sekadar meraih perak pada Sukan Asia di Guangzhou, China empat tahun lepas.


Artikel Sebelum

Keputusan Piala Malaysia

Artikel Berikut

Artikel Lain