suria

Sukan Olimpik Remaja: Cheam June Wei Menang Perlawanan Pembukaan

Cheam June Wei menbalas hantaran lawannya dari Nepal, Dipesh Dhami pada perlawanan pertama pada kejohanan Temasya Sukan Olimpik Remaja 2014 di Institut Sukan Gymnasium di Nanjing, Ahad. Cheam menang dengan 21-13 dan 21-11. Foto BERNAMA

NANJING: Wakil badminton negara Cheam June Wei membuka kempen temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) dengan langkah kanan apabila memenangi perlawanan pembukaan perseorangan lelaki peringkat kumpulan di Gimnasium Institut Sukan, dekat sini, Ahad.

Cheam, selaku pemain pilihan 3/4, hanya mengambil masa 27 minit untuk mengalahkan pemain Nepal, Dipesh Dhami dengan keputusan 21-13 dan 21-11 dalam saingan Kumpulan C.

Selepas kemenangan mudah itu, Cheam berkata beliau mahu mengekalkan rentak permainan dalam baki dua lagi perlawanan kumpulan sebelum mengintai slot suku akhir.

"Kalau boleh saya ingin terus menang pada perlawanan berikutnya," katanya kepada pemberita selepas pertarungan tersebut.

Pada Isnin, Cheam akan berdepan dengan pemain Thailand, Mek Narongrit sebelum melengkapkan jadual kumpulan dengan menentang pemain Turki, Muhammed Ali Kurt pada Selasa ini.

Dalam acara wanita, pemain negara Lee Ying Ying turut memulakan cabaran dengan aksi cemerlang apabila menundukkan pemain Austria, Janine Lais dalam straight-set 21-13 dan 21-6 dalam masa 22 minit.

Lee, 17, berkata walaupun berjaya mengalahkan lawannya beliau sedikit terkilan kerana banyak membuat kesilapan pada set pertama, namun kembali dapat menguasai perlawanan pada set kedua.

"Saya akan cuba baiki kesilapan ini agar mampu mempersembahkan aksi tidak mengecewakan esok," katanya.

Lee akan menentang pemain Slovenia, Katarina Beton esok sebelum melengkapkan jadual Kumpulan H dengan menentang pemain pilihan kedua, Bing Jiao He dari China pada hari berikutnya.

Dalam acara perseorangan, sebanyak 32 pemain, masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita, dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan setiap juara kumpulan layak ke suku akhir.

Artikel Lain