suria

Beri Peluang Kepada Dollah Salleh - Tengku Abdullah

Dollah (kanan) bersama pemain-pemain kebangsaan sebelum berlepas ke Tajikistan minggu lalu.

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta peminat bola sepak negara memberi masa dan peluang kepada jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh untuk menonjolkan prestasi beliau.

Baginda bertitah perlawanan persahabatan dengan Tajikistan yang menyaksikan Malaysia kalah merupakan pertandingan antarabangsa pertama yang dikendalikan Dollah bersama skuad Harimau Malaya selepas menggantikan Datuk K. Rajagobal.

Malaysia kalah 1-4 pada pada aksi di Stadium Central, Dushanbe, Tajikistan pada Jumaat lepas.

"Kita kena beri peluang dan masa kepada Dollah sebelum membuat sebarang andaian. Saya pun tak sempat berjumpa skuad Harimau Malaya dan Dollah lagi. 

"Tapi saya harap mereka (pasukan Harimau Malaya dan Dollah) akan pamerkan aksi lebih bagus pada masa akan datang," titah baginda kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pada Isnin.

Harimau Malaya dijangka menentang pula Jordan pada aksi persahabatan seterusnya pada 11 Okt di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki 2014 di Singapura dan Vietnam dari 22 November hingga 20 Disember ini.

Skuad Harimau Malaya dilapor berdepan laluan sukar pada kejohanan itu selepas diundi dalam Kumpulan  bersama juara bertahan Singapura serta juara tiga kali Thailand.

Mengulas mengenai undian tersebut, Tengku Abdullah bertitah undian bagi kedua-dua kumpulan A dan B adalah sukar.

"Saya rasa dua-dua kumpulan susah. Saya perhatikan pasukan Filipina juga merupakan pasukan pilihan sekarang. Pasukan Indonesia pun telah buat satu program yang lebih baik dari dahulu.

"Antara pasukan yang prestasi bagus adalah pasukan Myanmar. Jadi bagi saya tidak ada pasukan lemah dalam perlawanan kali ini," titah baginda.

Artikel Sebelum

Artikel Lain