suria

Hoki: Malaysia Buka Kempen Atasi Kanada 2-0

Pemain Malaysia, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin (tiga dari kiri) meraikan kejayaannya menjaringkan gol dengan Faiz Helmi Jali (kanan) pada temasya Sukan Komanwel, Sabtu.
GLASGOW: Skuad hoki lelaki negara membuka kempen Sukan Komanwel ke-20 dengan langkah kanan apabila mengalahkan Kanada 2-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B, Sabtu.

Pada perlawanan di Stadium Hoki Nasional Glasgow di sini, skuad negara membuka tirai jaringan menerusi Ahmad Kazamirul Nasruddin pada minit ke-14.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan Kanada kembali mengatur langkah dengan mengasak benteng pertahanan Malaysia tetapi gawang pasukan negara kekal selamat.

Tiga mata akhirnya menjadi milik skuad hoki negara sebaik Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin meledak gol kedua pada minit ke-68.

Turut bersama Malaysia dalam kumpulan B ialah New Zealand, England dan Trinidad & Tobago.

Penolong jurulatih K.Gobinathan berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan kemenangan pertama itu namun skuad negara perlu mengurangkan kesilapan sebelum berdepan dengan England, Ahad ini.

Beliau berkata banyak kesilapan berlaku berikutan pemain baharu mencari keserasian dengan pemain lama.

Kombinasi ini masih memerlukan masa untuk membentuk skuad yang lebih mantap,' katanya kepaad pemberita selepas perlawanan tersebut.
Hoki, Sukan Komanwel

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain