suria

Dunia Pertikaikan Kemenangan Bola Emas Lionel Messi

Messi (kanan) dan penjaga gol Jerman, Manuel Neuer dengan anugerah masing-masing sebaik sahaja tamat final Piala Dunia 2014 antara Jerman dan Argentina yang berkesudahan dengan Jerman menumpaskan Argentina 1-0.

> Lionel Messi dianugerahkan pemain terbaik kejohanan selepas Argentina Tewas kepada Jerman

> Messi gagal menjaringkan sebarang gol selepas peringkat kumpulan

> Manuel Neuer menerima Sarung Tangan Emas sebagai penjaga gol terbaik

> James Rodriguez menang Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak dengan enam gol

KEPUTUSAN Persekutuan Bolasepak Dunia (Fifa) untuk menganugerahkan gelaran pemain terbaik kejohanan Piala Dunia 2014 kepada kapten Argentina, Lionel Messi telah disambut dengan perasaan berbelah bahagi di seluruh dunia.

Tidak dinafikan Messi memberikan persembahan yang baik di peringkat kumpulan dengan menjaringkan empat gol dalam perlawanan menentang Bosnia, Iran dan Nigeria tetapi penampilannya boleh dikatakan tidak menonjol di peringkat kalah mati, suku akhir dan separuh akhir.

Pemain Barcelona gagal mencipta gol dalam perlawanan di peringkat kalah mati menentang Switzerland, kemudian di suku akhir menentang Belgium, selepas itu di separuh akhir menentang Belanda dan begitu juga dalam perlawanan menentang Jerman di final.

Malah dalam perlawanan akhir, dia gagal mempengaruhi permainan untuk menumpaskan Jerman.

Tetapi Messi tetap memenangi gelaran pemain terbaik kejohanan mengatasi calon-calon yang lebih layak seperti penyerang sensasi Colombia, James Rodriguez, pemain sayap  Belanda, Arjen Robben dan trio Jerman, Manuel Neuer, Bastian Schweinsteiger dan Thomas Muller.

Ini mencetuskan cakap-cakap yang Messi selaku duta khas Adidas, telah diberikan keistimewaan tersebut kerana anugerah itu ditaja oleh Adidas.

Spekulasi juga tercetus kerana untuk pertama kalinya anugerah itu ditentukan oleh Jawatankuasa Teknikal Fifa. Sebelum ini ia ditentukan oleh wakil-wakil media yang membuat liputan sepanjang kejohanan ini berlangsung.

Bekas pemain antarabangsa England, Rio Ferdinand mengulas dalam BBC: "Saya rasa James Rodriguez lebih layak. Dia telah memperlihatkan permainan yang menarik dengan minda menyerang sepanjang kejohanan ini tetapi Messi memperlihatkan permainan yang tidak konsisten."

Seorang lagi pengulas Piala Dunia, di stesen BBC, Alan Hansen memberi pandangan yang sama.

"Saya rasa Messi tidak melakukan secukupnya untuk menerima anugerah berkenaan sedangkan empat atau lima pemain Jerman lebih berhak untuk menerima gelaran tersebut," kata Hansen.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain