suria

Kami Akan Terima Ketiadaan Suarez - Pengurus Liverpool

PENGURUS Liverpool, Brendan Rodgers berpendirian kelab akan menerima keadaan skuad tanpa kelibat Luis Suarez musim depan.

The Reds menyerahkan Suarez kepada Barcelona dengan nilai rekod kelab 75 juta pound (RM409 juta) pada Jumaat lalu.

Pemain antarabangsa Uruguay itu kini sedang menjalani penggantungan empat bulan daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak kerana didapati bersalah menggigit pemain pertahanan Itali, Giorgio Chiellini.

Suarez mencetak 82 gol dalam 133 penampilan keseluruhan dan memenangi Kasut Emas musim lalu dan dengan 31 gol dalam 33 perlawanan liga.


Suarez bersama Barcelona musim baharu ini.

Pastinya ketiadaan Suarez akan dirasai memandangkan dia antara pemain penting sepanjang dua tahun kebelakangan ini, namun Rodgers berkata apa yang berlaku itu di luar kawalannya.

"Jika ada satu sejarah yang berkaitan dengan kelab, ia adalah Liverpool FC bukan individu secara amnya.

"Saya yakin kami akan terus meningkat dan makin kuat untuk musim baharu nanti termasuk saingan liga tempatan serta Liga Juara-Juara.

"Kami fokus masa depan, berusaha untuk meneruskan aksi cemerlang yang dibuat musim lalu dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

"Saya harap semua penyokong akan terus menaruh harapan dan percaya yang kami akan terus ke depan dan bersama-sama membawa kejayaan," jelasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain