suria

Keylor Navas Kini Penjaga Gol Paling Dikehendaki Di Dunia

> Liverpool, Arsenal dan Atletico Madrid sedar akan klausa £6.5 juta dalam kontraknya

> Penjaga gol Levante itu dianggap penjaga gol terbaik La Liga musim lalu selain Thibaut Courtois

> Arsene Wenger dan Brendan Rodgers mengarahkan skuad peninjau melihat peluang memperolehinya

PENJAGA gol Costa Rica, Keylor Navas, 27, kini menjadi penjaga gol paling dikehendaki di dunia selepas memperlihatkan aksi luar biasanya membolehkan mereka berada di kelompak lapan pasukan terbaik temasya Piala Dunia.

Costa Rica layak ke suku akhir Piala Dunia selepas mereka menumpaskan Greece menerusi sepakan penalti. Mereka kini diundi untuk bertemu Belanda pada 5 Julai nanti untuk menempa tempat ke separuh akhir.

Menurut Navas, kemampuan mereka muncul juara kumpulan mengatasi tiga bekas juara dunia iaitu Uruguay, Itali dan England menceritakan sesuatu tentang skuad ini yang bermain tanpa gentar.

Dengan klausa pembelian kontraknya hanya sekitar £6.5 juta sahaja dan baki kontraknya bersama Levante hanya berbaki semusim sahaja lagi, penjaga gol sensasi itu telah mengundang perhatian kelab-kelab ternama dunia seperti Liverpool, Arsenal dan Atletico Madrid yang sudah pasti akan kehilangan khidmat Thibaut Courtois musim depan.

Courtois akan kembali ke kelab asalnya Chelsea semula selepas empat musim bersama La Liga.

Dalam keseluruhan kempen Piala Dunia termasuk pusingan kelayakan, Navas hanya melepaskan tujuh gol sahaja. Hanya Amerika Syarikat mempunyai rekod lebih baik dari Costa Rica.

Dan dalam pusingan peringkat kumpulan pada temasya yang sedang berlangsung sekarang ini, Navas hanya melepaskan satu gol sahaja iaitu menentang Uruguay.

Navas pertama kali menyertai La Liga menerusi Albacete yang membelinya dari kelab ternama Costa Rica, Saprissa pada 2010.

Dia menyertai Levante setahun kemudian, untuk menjadi penjaga gol kedua di belakang Gustavo Munua tetapi musim lalu dipilih sebagai penjaga gol utama.


Artikel Lain