suria

Mohd Fitri, Pandelela Dinobatkan Olahragawan, Olahragawati Masum 2013

Pandelela Rinong.
PUTRAJAYA: Pemain hoki Piala Dunia 2014, Mohd Fitri Saari dan ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) 2013.

Kedua-dua pelajar Universiti Malaya itu menerima trofi masing-masing daripada Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Pengajian Tinggi Datuk Nasir Mat Dam dalam majlis yang berlangsung di Dewan Zaaba, Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.

Mohd Fitri berkata beliau tidak menyangka terpilih sebagai penerima anugerah itu dan mengakui penyertaannya dalam beberapa kejohanan membantu beliau memperbaiki mutu persembahan permainan sehingga dinobatkan sebagai olahragawan Masum.
 
"Saya berharap mampu memberikan persembahan yang terbaik pada Sukan Komanwel 2014 yang akan berlangsung dalam beberapa minggu sahaja lagi.
 
"Walaupun kalah dalam Piala Dunia di Belanda tetapi saya dapat kutip pengalaman yang berharga selain dapat belajar teknik-teknik permainan melalui pasukan negara lain," katanya kepada pemberita.

Bagi Pandalela Rinong, anugerah yang diterima hari ini menjadi pemangkin kepada dirinya untuk melangkah lebih jauh dalam persada sukan antarabangsa.

Namun begitu, usaha yang lebih dari segi latihan masih diperlukan untuk mencapai keputusan yang lebih baik pada masa akan datang, katanya.
 
"Tekanan memang ada tapi saya akan tetap dapat memberikan persembahan yang menarik di sesebuah kejohanan. Bagaimanapun, keajaiban berlaku apabila anda tidak jangkakan, jadi untuk menang medal, itu mungkin ada," katanya.

Sementara itu, anugerah Bintang Harapan Lelaki dimenangi atlet olahraga dan juga Olahragawan Sukma Perlis 2014, Muhammad Irfan Shamsudin manakala Vivian Hoo Kah Mun (badminton) dipilih sebagai Bintang Harapan Wanita.

Sebanyak 11 anugerah turut disampaikan hari ini, antaranya atlet terbaik universiti, pasukan terbaik kategori lelaki dan wanita serta jurulatih dan pegawai yang sentiasa berjuang membangunkan industri sukan.
Pandelela Rinong, Mohd Fitri, Masum

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain