suria

JDT Persiakan Peluang Raih Tiga Mata Di Laman Sendiri

Pemain JDT I Luciano Gabriel Figueroa cuba melepasi kawalan dua pemain Pahang Mohd Hafiz Kamal dan Damion Delano Stewart pada perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunus Larkin di JOhor Baharu, malam Jumaat. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Johor Darul Takzim (JDT) melepaskan peluang untuk meraih kemenangan selepas diikat Pahang dengan keputusan 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam JUmaat.

Pemain skuad 'Harimau Selatan' wajar menyalahkan diri sendiri selepas mendahului 2-1 sebelum pemain sayap R. Gopinathan menyelamatkan maruah Pahang dengan gol penyamaan, beberapa minit sebelum perlawanan berakhir.

Pada aksi di Larkin itu, Luciano Figueroa membuka tirai jaringan untuk JDT pada minit ke-27 sebelum Azammuddin Akil menyamakan kedudukan untuk skuad 'Tok Gajah', sembilan minit kemudian.

Pemain kebangsaan, Safiq Rahim menggandakan jaringan untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-48 sebelum Gopinathan memusnahkan harapan skuad berstatus bintang itu, dengan jaringan penyamaan pada minit ke-89.

Di Stadium Negeri, Kuching, pasukan Sarawak memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selepas meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Selangor PKNS FC.

Kapten pasukan, Joseph Kalang Tie membuka tirai jaringan untuk skuad 'Ngap Sayot' pada minit ke-57 sebelum pemain pertahanan mereka, Mafry Balang menolak masuk ke dalam gol sendiri pada minit ke-78, menyaksikan perlawanan terikat 1-1.

Muamer Salibasic menyelamatkan maruah skuad kendalian Robert Alberts itu dengan gol kemenangan pada minit ke-84.

Dalam saingan Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kekal berada di puncak liga walaupun terikat seri 1-1 menentang UiTM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Charles Chad Souza membuka tirai jaringan untuk skuad 'The Cops' pada minit ke-15 sebelum Abdi Kassim Sadallah menyamakan kedudukan untuk pasukan UiTM FC pada minit ke-89.

Pulau Pinang merapatkan jurang mata dengan Felda United FC kepada satu mata di tangga ketiga liga selepas mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Perlis di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Mereka bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pemain import skuad 'Singa Utara', Mourad Faris pada minit ke-26 sebelum penyerang import dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon muncul wira Pulau Pinang dengan meledak dua jaringan pada minit ke-27 dan sepakan penalti pada minit ke-80.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban, jaringan tunggal penyerang import dari Syria, Marwan Sayedeh pada minit ke-64 membolehkan Sabah menundukkan Negeri Sembilan.

Kedah turut mengutip tiga mata selepas mengalahkan Felda United FC 1-0 menerusi jaringan tunggal Mohd Syafiq Ahmad pada minit ke-90 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Terdahulu, pasukan pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain import mereka, Yaroslav Krushelnitskiy dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-47.

Perlawanan antara Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang FC (PBAPP FC) dan SPA Putrajaya FC di Stadium Hang Jebat, Melaka berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
JDT, Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain