suria

Proses Cari Bakat Baharu Sukan Dipercepat - Khairy

Khairy Jamaluddin (tiga, kanan) beramah mesra dengan penerima insentif atlet Kelantan yang mewakili Sukan SEA Myanmar 2013 pada Majlis Perasmian Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) Kelantan di Dewan Penggerak Wawasan, Kompleks Belia dan Sukan Panji di Kota Bharu, Sabtu. Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Kementerian Belia dan Sukan akan mempercepatkan proses mencari bakat baharu sebagai pelapis kepada atlet sedia ada, kata Menterinya, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, sehubungan itu perancangan khusus bagi pembangunan sukan untuk golongan pelapis akan dilaksanakan sebagai persediaan untuk mereka menggalas tanggungjawab menjadi atlet berprestasi tinggi di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, beberapa jenis sukan yang perlu diberi penekanan telah dikenal pasti dalam melahirkan bakat baharu iaitu seperti olahraga, badminton dan renang.

"Ini antara sukan yang ada sedikit masalah dari segi pelapis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) Kelantan di Kompleks Belia dan Sukan Panji di sini, Sabtu.

Beliau berkata, program pencarian bakat baharu akan melibatkan semua peringkat termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah untuk dibangunkan bakat mereka dalam sukan yang diceburi.

Mengenai Pusat Satelit ISN Kelantan, Khairy berkata, atlet dan persatuan sukan perlu menggunakan sepenuhnya perkhidmatan yang disediakan di pusat berkenaan untuk persiapan atlet menyertai kejohanan sukan di dalam dan luar negara.

"Saya tekankan bahawa jurulatih dan juga atlet mestilah menggunakan perkhidmatan yang disediakan di Pusat Satelit ISN sebab perbezaan seorang atlet yang berjaya di peringkat antarabangsa dan seorang atlet yang tidak sampai tahap yang sama adalah pada persediaan yang menggunakan sains sukan, teknologi sukan dan perubatan sukan.  

"Mereka yang memandang ringan terhadap sains sukan ini adalah mereka yang tidak akan sampai prestasi maksimum," katanya.

Pusat Satelit ISN Kelantan adalah yang ketujuh daripada 16 buah di seluruh negara yang memfokus kepada perkhidmatan sokongan sains sukan dalam empat disiplin asas iaitu aspek fizikal, psikologi sukan, fisiologi senam dan pemakanan.

Ia turut memberi pekhidmatan perubatan sukan secara berperingkat dalam membantu persiapan atlet Kelantan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain