suria

Pemain Terengganu Bermain Untuk T-Team

Abdul Manaf dijangka akan bermain dengan pasukan T-Team musim perpindahan baharu ini.
KUALA TERENGGANU: Sekurang-kurangnya tiga tonggak utama skuad Terengganu dijangka bermain untuk T-Team apabila pintu perpindahan pemain dibuka mulai Selasa selama sebulan.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Arpin Draman berkata pemain pertahanan Nik Zul Aziz Nik Nawawi merupakan nama awal yang
diluluskan perpindahan itu, namun bergantung kepada keputusan muktamad PBSNT kelak.

Satu lagi nama yang mungkin terlibat ialah pemain penyerang Abdul Manaf Mamat.

"Sebenarnya T-Team mohon tiga pemain untuk memperkuatkan barisan mereka, tetapi setakat ini Terengganu hanya meluluskan perpindahan seorang sahaja, manakala dua lagi masih dalam pertimbangan," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata PBSNT juga dijangka mencari beberapa pemain baharu terutama bagi menggantikan pemain import yang dilihat gagal memberikan persembahan  terbaik mereka.

Arpin berkata pihaknya telah menguji beberapa pemain import dari beberapa buah negara seperti dari Amerika Latin dan benua Afrika.

"Kita telah menguji sejak dua hari lepas, tetapi kesemua pemain itu tidak mencapai tahap yang diperlukan. Masih ada tempoh sebulan lagi untuk menguji pemain import dan kita harap akan temui pemain yang kita perlukan dalam tempoh tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih T-Team, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata setakat ini prestasi pasukannya dalam saingan Liga Super masih ditakuk lama selepas mengharungi lapan perlawanan dan menduduki tempat tercorot daripada 12 pasukan.

Beliau berharap keadaan itu akan berubah dengan kemasukan pemain baharu.

Artikel Lain