suria

Beasley Hantar Surat Bantahan Kepada UCI

Azizulhasni Awang.
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley bertekad akan menghantar surat bantahan kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berikutan pembatalan aksi Azizulhasni Awang pada Kejohanan Berbasikal Dunia di Cali bulan lalu.

"Saya sudah berbincang pada mesyuarat jawatankuasa kerja pada Selasa dan akan menghantar surat bantahan mengenai keputusan tersebut.

"Kami ada bukti kukuh menunjukkan Azizul tidak bersalah. Jika kejadian sama sebelum ini, kami hanya terima sahaja, tetapi kali  ini kami mempunyai persoalan mengenai keputusan pegawai pertandingan.

"Memang video menunjukkan tidak ada apa-apa aksi kesalahan yang dilakukan Azizul.

"Kami tidak mahu Azizul terus menjadi mangsa kepada keputusan yang tidak adil terhadap Azizul,"  katanya kepada media selepas majlis penyerahan tajaan Ridley Bicycles Company/Action Bods Singapore kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Rabu.

Penyertaan Azizulhasni dibatalkan sebanyak tiga kali ketika  menyertai siri dua siri Piala Dunia Klasik di Colombia dan Kejohanan Dunia di Cali, Colombia.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, beliau ada menyarankan kepada Beasley agar memberi ruang kepada pasukan-pasukan yang memprotes Azizul.

"Bagi mereka tengok video dahulu untuk menentukan  ada atau tidak kesalahan yang dilakukan Azizul ketika itu.

"Beasley sendiri tidak faham mengapa ia berlaku. Bagi saya, langkah-langkah tertentu perlu diambil kerana kita tidak mahu perkara ini terus berlaku pada Sukan Olimpik ataupun mana-mana kejohanan lain.

"Azizul dilihat seperti 'kambing hitam' mungkin untuk menutupi kelemahan sesetengah pihak," jelasnya.

Azizulhasni, John Beasley, UCI, PKBM

Artikel Lain