suria

Van Hummel Menang Peringkat Enam, Kejayaan Pertama Androni Giocatolli-Venezuela

Aksi pelumba pasukan Androni Giocatolli-Venezuela, Kenny Van Hummel selepas berjaya menguasai peringkat keenam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 dari Melaka ke Pontian sejauh 199.1 kilometer di Pontian, Selasa. -fotoBERNAMA

PONTIAN: Kejohanan Le Tour de Langkawi 2014 menyaksikan pemenang peringkat yang berbeza setiap hari termasuk pada Selasa apabila pelumba Belanda, Kenny Van Hummel yang mewakili Androni Giocatolli-Venezuela menjuarai Peringkat Enam di sini.

Pelumba berusia 31 tahun itu meraih kemenangan pertama buat pasukannya tahun ini selepas mengalahkan pelumba pilihan lain seperti rakan senegara Theo Bos daripada Belkin-Pro Cycling Team dan pelumba Itali, Andrea Guardini daripada Astana Pro Cycling.

Van Hummel menamatkan kayuhan peringkat itu yang sejauh 199.1 kilometer dalam masa 4 jam, 29 minit dan 46 saat.

Pelumba Lithuania, Aidis Kruopis daripada pasukan Orica Greenedge di tempat kedua manakala pelumba Amerika Syarikat Ken Hanson daripada UnitedHealthcare menduduki tempat ketiga. Mereka mencatatkan masa yang sama dengan Van Hummel.

"Ia adalah pecutan yang panjang dan bersih dengan pelumba pecut lain serta menyebabkan keadaan sedikit kelam-kabut kerana angin kuat. Saya memilih berada di bahagian kanan jalan kerana bimbang dihimpit masuk ke kiri.

"Selepas melihat pelumba UnitedHealthcare mula memecut menuju ke akhir kira-kira 300 meter, saya berusaha memecut untuk melepasinya dan terus mendapatkan kemenangan," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Pelumba Iran, Mirsamad Pourseyedigolakhour daripada Tabriz Petrochemical Team mengekalkan Jersi Kuning dengan menguasai pendahulu keseluruhan setelah berada dalam kelompok utama.

"Keadaan agak sibuk semasa bermulanya perlumbaan kerana berlaku banyak cubaan memintas dan kami perlu mengatasinya.

"Kami adalah pasukan yang mempunyai pelumba bukit yang baik, namun bila berada dalam laluan rata seperti ini, ia agak sukar. Bagaimanapun, saya gembira dapat mengekalkan Jersi Kuning untuk perlumbaan esok," kata juara Tour of Qinghai 2013.

Porseyedigolakhour juga mengekalkan Jersi Putih sebagai pelumba terbaik Asia dengan mengumpulkan masa 19'43:50s. Pasukannya pula mengekalkan kedudukan sebagai pasukan Asia terbaik dengan 59'15:55s.

Pasukan Pro Continental Cycling dari Afrika Selatan, MTN Qhubeka menguasai pelumba pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 59'14:17s.

Pelumba Ireland, Matt Brammeier daripada Synergy Baku Cycling Project pula mengekalkan Jersi Merah selepas meraih gelaran Raja Bukit dengan 34 mata, manakala pelumba Belanda Thomas Rabou daripada OCBC Singapore memenangi Jersi Biru dengan 48 mata.

Sementara itu, Anuar Manan daripada Terengganu Cycling Team (TSG) menjadi pelumba terbaik Malaysia dengan menduduki tempat ke-10.

Artikel Lain