suria

White Juara Peringkat Lima LTdL

White (tengah) meraikan kejayaannya bersama pemenang tempat kedua Rabou (kiri) dan tempat ketiga Meintjes selepas tamat peringkat kelima perlumbaan Le Tour De Langkawi (LTdL) 2014 dari Karak ke Rembau sejauh 139.3 KM di Rembau, Isnin. Foto BERNAMA

REMBAU: Ketabahan dan pengalaman pakar pecut Amerika, Bradley White daripada pasukan UnitedHealthcare Pro Cycling memberi pulangan lumayan kepadanya pada Isnin apabila menjuarai Peringkat Lima Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014.

Pelumba berusia 32 tahun ini mencatat masa tiga jam, tiga minit dan 28 saat untuk menyumbang kemenangan pertama kepada pasukannya tahun ini.

Pelumba Belanda Thomas Rabou daripada pasukan OCBC Singapore menduduki tempat kedua dengan masa 3'03:28, manakala pelumba Afrika Selatan Louis Meintjes daripada pasukan MTN Qhubeka meraih tempat ketiga dengan catatan masa empat saat di belakang Meintjes.

Selepas Peringkat Lima pada Isnin, jersi kuning terus menjadi milik pelumba Iran Mirsamad Pourseyedigolakhour daripada Petrochemical Team apabila beliau menduduki tempat teratas dalam klasifikasi umum dengan catatan masa 15'14:04, mengatasi pelumba Eritrea Merhawi Kudus daripada pasukan MTN Qhubeka dengan lapan saat.

Pourseyedigolakhour juga mempertahankan jersi putih yang dimenanginya sebelum ini sebagai penunggang terbaik Asia, manakala pasukannya menduduki tempat teratas bagi klasifikasi keseluruhan pasukan Asia, setelah mengumpul masa 45'46:37.

Dalam pertandingan Pecut, Rabou dan pelumba Ireland Matt Brammeier daripada pasukan Synergy Baku Cycling Project masing-masing mengutip 40 mata, tetapi jersi biru menjadi milik Rabou kerana beliau menduduki tempat kedua dalam perlumbaan pada Isnin, manakala Brammeier menduduki tempat ke-82.

Pasukan MTN Qhubeka menjadi pendahulu dalam klasifikasi umum berpasukan setelah mengumpul masa 45'44:59 selepas melalui lima peringkat perlumbaan.

Sementara itu, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi muncul sebagai pelumba terbaik Malaysia setelah menduduki tempat ke-24.

Pada Selasa, pelumba akan bertarung dalam Peringkat Enam LTdL dari Melaka ke Pontian sejauh 199.1km, yang mempunyai tiga zon pecut iaitu Rengit, Yong Peng dan Muar.

Artikel Sebelum

Artikel Lain