suria

Presiden KOM Yakin Atlet Muda Ke Sukan SEA Boleh Dibanggakan

KUALA LUMPUR: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Zainal Abidin Ahmad yakin atlet muda yang disenarai ke temasya Sukan SEA Myanmar dapat menghasilkan pencapaian yang membanggakan.

"Saya lihat atlet muda kita mempunyai semangat besar dan mereka memang bersungguh-sungguh untuk beraksi...beri mereka peluang membuktikan prestasi mereka.

"Kita mahu masa depan atlet muda kita akan terus meningkat, kita sedang membina semula sebuah pasukan baharu. Mereka perlu menunjukkan prestasi terbaik dan mencuba di luar tahap sebenar di Myanmar," katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) di sini Selasa.

Zainal Abidin berkata beliau optimis atlet olahraga mampu menyumbang lima pingat emas pada temasya dwitahunan itu.

"Saya difahamkan atlet Thailand dan Vietnam bersungguh-sungguh untuk membuat kejutan di Myanmar...kita juga begitu. Saya percaya persaingan adalah sengit di sana," katanya.

KOM menyenaraikan 39 atlet dalam kategori A yang dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada temasya dari 11 hingga 22 Disember ini. - BERNAMA

Artikel Lain