suria

MSN Sedia Bantu Pemain Golf Layak Ke Sukan Olimpik 2016

KUALA LUMPUR: Pemain golf profesional tempatan layak menerima bantuan Majlis Sukan Negara (MSN) sekiranya dapat melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, kata Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong.

Menurut beliau, mereka juga boleh menerima bantuan di bawah Program Road to Rio 2016 seperti sukan yang lain.

"Sekiranya mereka melayakkan diri, sudah tentu mereka akan menerima banyak kemudahan supaya mereka dapat memberikan saingan yang terbaik di temasya Sukan Olimpik nanti.

"MSN sentiasa menyediakan pelbagai kemudahan, bantuan kewangan dan sebagainya untuk atlet-atlet kita mempersiapkan diri...dalam latihan mereka, pertandingan yang disertai, khidmat sokongan, aspek sains sukan dan perubatan," katanya kepada Bernama hari ini.

Pada 2009, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Copenhagen, Denmark memutuskan golf kembali menjadi acara dalam Sukan Olimpik pada 2016.

Untuk rekod, acara golf kali terakhir dipertandingkan dalam Sukan Olimpik ialah pada 1900 di Paris, Perancis.

Format perlawanan yang dicadangkan pada Sukan Olimpik Rio de Janeiro ialah secara 'strokeplay' 72 lubang, yang melibatkan masing-masing 60 pemain untuk kategori lelaki dan wanita.

Mengenai persiapan menuju ke Sukan Olimpik 2016, Zolkples berkata MSN telah memulakan program Road to Rio 2016 dan menyediakan atlet-atlet bagi menghadapi saingan ke Brazil.

"Kita masih dalam usaha untuk memenangi pingat emas pertama Sukan Olimpik untuk negara kita dan sudah tentu keutamaan kita ialah kepada sukan-sukan yang pernah cemerlang seperti badminton, terjun, memanah dan berbasikal trek," katanya.

Selain itu, Zolkples berkata MSN turut mengharapkan pertambahan jumlah acara sukan dan bilangan atlet bagi Sukan Olimpik Rio de Janeiro.

"Jika ada pemain golf negara yang dapat melayakkan diri secara merit, ia adalah perkembangan positif. Mungkin kita sukar mencapai kemenangan pingat tetapi melayakkan diri sudah dikira sesuatu yang amat istimewa kerana pemain kita berada dalam ranking yang baik untuk layak secara automatik.

"Saya percaya atlet profesional akan turut berpeluang untuk mengambil bahagian. Sudah tentu penganjur Sukan Olimpik mahu melihat pemain golf ternama seperti Tiger Woods, Rory Mcllroy dan sebagainya bertanding kerana ia akan membawa pulangan yang tinggi khususnya dari segi nilai komersial," katanya.

"Memandangkan golf akan menjadi acara yang pertama kali dipertandingkan di Sukan Olimpik pada tahun 2016 dan setakat ini masih belum diputuskan kriterianya (kelayakan)," katanya.

Pada Jumaat lepas, Presiden Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid ketika melancarkan kalendar 2014 Jelajah PGM, berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan MSN dalam membantu pemain golf negara yang layak ke Sukan Olimpik.

"PGM dengan kerjasama Asian Tour menyediakan banyak kejohanan ADT (Asian Development Tour) untuk memberi peluang pemain profesional tempatan mengukir kejayaan sekali gus mengumpul mata Ranking Golf Dunia (OWGR).

"Kejohanan ADT membentuk komponen penting dalam PGM bagi membolehkan pemain golf Malaysia berada dalam kedudukan 300 terbaik dalam OWGR untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain