suria

Skuad Bola Keranjang Lelaki Sasar Emas Di Myanmar

KUALA LUMPUR: Pasukan bola keranjang lelaki kebangsaan yakin mampu meraih sasaran memenangi pingat emas di Sukan SEA Myanmar, yang bermula 11 Disember.

Sejajar dengan sasaran itu, jurulatih Paul Daniel Jorda mahu pemain senior dan junior yang menganggotai pasukan itu mempamerkan permainan mantap dalam setiap perlawanan, tanpa mempedulikan kehadiran pasukan pilihan ramai, Filipina.

"Kami membuat persiapan sejak kira-kira setahun lepas, banyak cabaran yang dilalui dan kini kami sudah bersedia... inilah yang kami nanti-nantikan. Apa yang perlu dilakukan pasukan ini ialah berjuang untuk menang pingat emas. Jika dilihat secara realistik, ini suatu tugas berat kerana Filipina, Indonesia, Singapura dan Thailand juga bersaing untuk memenangi pingat emas.

"Seperti yang saya beritahu kepada pasukan ini, dalam bola keranjang, ia 50-50 kerana apa saja boleh berlaku. Saya percaya para pemain akan memberi yang terbaik dan mereka akan berusaha secara habis-habisan untuk memenangi emas," katanya kepada pemberita selepas upacara penyerahan bendera di sini Isnin.

Jorda berkata pasukan 15 anggota itu akan memulakan kempen mereka dengan menentang Indonesia pada 8 Dis sebelum bertemu Kemboja (9 Dis), Singapura (10 Dis), Myanmar (13 Dis), Thailand (14 Dis) dan Filipina (15 Dis).

Sementara itu, pasukan wanita kebangsaan pula akan menentang Filipina pada 9 Dis sebelum bertemu Myanmar (12 Dis), Indonesia (13 Dis) dan Thailand (15 Dis).

Sebagai rekod, pasukan lelaki Malaysia menduduki tempat keempat, manakala pasukan wanita pula menang pingat gangsa di Sukan SEA Jakarta pada 2011. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain