suria

KBS Harap Terengganu Terus Bersama Taja LTDL

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA TERENGGANU: Kementerian Belia dan Sukan berharap kerajaan negeri Terengganu dapat terus bersama dalam penajaan kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata bagaimanapun Terengganu perlu memberikan jawapan muktamad dalam masa terdekat sama ada mahu menarik diri atau meneruskan tajaan mereka, bagi menentukan laluan kejohanan itu nanti.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said telah menyatakan hasrat bahawa kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak meneruskan tajaan RM2 juta bagi kejohanan itu tahun depan berikutan kegagalan negeri mendapatkan hak penganjuran beberapa acara sukan seperti menjadi venue kepada acara lumba basikal Sukan SEA 2017 dan Piala Monsun tahun depan.

Khairy berkata jika Terengganu tidak mahu lagi terlibat dalam LTdL, pihaknya terpaksa menamatkan laluan acara itu yang dijangka di Kuala Lumpur.

"Setakat ini kita ada dua alternatif. Satu yang tamat di Terengganu dan satu lagi kalau Terengganu tak nak terlibat kita terpaksalah tamatkan di Kuala Lumpur. Jadi LTdL kena lalu dari Johor, Pahang dan kena patah balik ke Lembah Klang.

"Bagi saya, kita (KBS) tidak ada masalah dari segi laluan tetapi pilihan saya adalah lebih baik laluan Terengganu dikekalkan sebagai vanue terakhir acara itu," katanya kepada pemberita pada majlis penutup Piala Monsun di Pulau Duyong di sini Sabtu.

Menurutnya Terengganu telah banyak melahirkan jaguh berbakat besar dalam arena berbasikal dan pihaknya akan memberi pertimbangan terbaik untuk negeri itu menjadi lokasi venue sukan berbasikal pada temasya Sukan SEA 2017 sekiranya Malaysia dipilih sebagai tuan rumah.

Beliau berkata Terengganu juga telah lama menjadi rakan kongsi dalam LTdL dan beliau berharap Terengganu dapat mempertimbangan keputusan mereka sewajarnya.

Khairy berkata beliau telah berjumpa dan memaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat bahawa KBS akan pertimbangkan cadangan itu.

"Penjelasan saya pun amat jelas bahawa kita belum buat apa-apa keputusan muktamad. Malah Persekutuan Sukan SEA belum pun bermesyuarat di mana mereka hanya akan mesyuarat pada 10 Disember ini untuk muktamadkan bidaan Malaysia sebagai tuan rumah.

"Jadi kalau nak katakan kita dah putuskan venue acara sukan itu sebenarnya adalah tak betul dan jawatankuasa pemandu yang dipengerusikan oleh saya pun belum bermesyuarat lagi dan belum ditubuhkan lagi.

"Sebab itulah kita tak boleh janji sebab jawatankuasa belum tubuh lagi," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain