suria

OCBC Cycle Malaysia 2014 Cipta Kelainan Berkayuh Waktu Malam

KUALA LUMPUR: Penganjuran kejohanan berbasikal 'OCBC Cycle Malaysia' edisi 2014 bakal mempamerkan kelainan apabila kayuhan hari terakhir kejohanan kali ketiga itu akan diadakan pada sebelah malam.

Cabaran sejauh 12.1km yang dijangka mampu menarik lebih 6,000 peserta itu dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 19 Jan melibatkan acara berbasikal beramai-ramai di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata acara kayuhan waktu malam itu akan bermula pada pukul lapan malam bertujuan mempromosikan keindahan kehidupan sebelah malam di bandaraya Kuala Lumpur kepada penggemar basikal dan pelancong.

"Kami bercadang untuk menjemput lebih kurang 200 pengayuh untuk melahirkan lebih keghairahan kepada mereka," katanya dalam ucapan pada majlis perasmian acara tersebut.

Laluan kayuhan sejauh 12.1km itu akan bermula di Dataran Merdeka dengan membawa peserta melalui beberapa jalan tertua di Kuala Lumpur iaitu Jalan Parlimen sebelum menghala ke Jalan Tun Ismail dan berakhir di garisan permulaan.

Di samping itu para peserta berpeluang melihat bandar metropolitan di kawasan segitiga Emas Kuala Lumpur membabitkan sepanjang Jalan Sultan Ismail dan seterusnya Menara Kuala Lumpur serta Menara Berkembar Petronas.

Antara sepuluh acara akan dipertandingkan pada acara berbasikal OCBC edisi ketiga kali ini termasuk 'The Tricycle Ride' (100m untuk umur dua hingga lima tahun), 'The Kids' Ride' (5km untuk umur lima hingga sembilan tahun), 'The Junior Challenge' (30 minit untuk 10 hingga 12 tahun), 'The Community Ride' (24km untuk umur 10 tahun ke atas) dan 'The UFC + Foldies Community Ride (individu).- BERNAMA

Artikel Berikut

Annuar Sanggup Berundur Demi FAM

Artikel Lain