suria

Hoki: Terengganu Turun Tanpa Empat Tonggak

KUALA TERENGGANU: Laluan Terengganu dalam Kejohanan Kebangsaan Hoki bawah 21 tahun dilihat mencabar apabila empat pemain tonggaknya yang juga pemain kebangsaan tidak akan beraksi dalam kejohanan itu yang akan berlangsung di Kuala Lumpur selama 10 hari bermula 10 Dis nanti.

Ini berikutan keempat-empat pemain itu akan menggalas cabaran negara pada Kejohanan Hoki Remaja Dunia di New Delhi, India dari 6 hingga 15 Dis di mana Malaysia ke Piala Dunia itu atas tiket selaku juara Piala Remaja Asia.

Setiausaha Persatuan Hoki Terengganu (PHT) Sobri Salleh berkata empat pemain berkenaan ialah Mohd Fitri Saari (tengah); Muhammad Firhan Ashaari (penyerang); Mohammad Hafizuddin Othman dan Mohd Hazrul Faiz Ahmad Sobri (penjaga gol).

"Kita tidak boleh gunakan khidmat empat pemain ini kerana mereka ada tugas yang lebih penting untuk negara. Ini pastinya akan menambahkan cabaran dan tekanan kepada pasukan nanti kerana kita kekurangan kekuatan diperlukan," katanya.

Menurutnya PHT kini menyenaraikan 20 pemain yang kebanyakannya pemain pasukan Sukan Malaysia untuk mewakili Terengganu pada kejohanan di ibu negara itu.

"Kita akan kumpul pemain-pemain negeri ini yang kebanyakannya berada di luar Terengganu seperti dari Sekolah Sukan Bukit Jalil untuk menjalani latihan bermula 28 Nov ini," katanya.

Beliau berkata bekas pemain hoki negeri Nik Rozimi Nik Mohamad dan Mohd Shamsul Ismail akan mengendalikan pasukan tersebut.-BERNAMA

Artikel Berikut

Annuar Sanggup Berundur Demi FAM

Artikel Lain