suria

Persiapan Kontinjen Negara Ke Myanmar Lancar - Kok Chi

KUALA LUMPUR: Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi mengesahkan tidak ada berita terbaharu mengenai tuan rumah Sukan Sea, Myanmar dan kontinjen negara sudah bersedia untuk bertandang ke sana awal Disember ini.

Menurut Kok Chi, jumlah kontinjen negara seramai 833 atlet serta pegawai dan semua atlet daripada sebanyak 30 acara yang akan disertai sudah disahkan kecuali hoki lelaki.

Katanya, skuad hoki dijangka membuat pertukaran dengan memanggil beberapa pemain senior selepas pemain remaja yang akan ke Sukan Sea dan sebahagian daripadanya beraksi di Piala Dunia Remaja 2013 New Delhi.

"Pertukaran pemain lapan atau sepuluh pemain senior yang akan pulang dari Korea Selatan akan menyertai skuad Sukan Sea, cuma kita tidak tahu siapa pemain yang cedera tetapi jumlah kontinjen tetap 18 orang seperti mana yang ditetapkan," jelas Kok Chi.

Dalam pada itu Kok Chi turut menjelaskan mengenai sasaran 40 pingat yang disasarkan kepada kontinjen negara adalah realistik.

Perbezaan sasaran pingat ini timbul apabila Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Kontinjen, Datuk Wira Amiruddin Embi meletakkan sasaran yang berbeza.

Minggu lalu, Khairy meletak sasaran sebanyak 40 pingat emas berdasarkan penilaian Majlis Sukan Negara (MSN) dan MOM serta persatuan sukan.

Namun Kok Chi berkata, apa jua sasaran yang diletakkan, MOM mengambil perkara itu sebagai satu perkembangan positif.

"Bagi pandangan saya, sepuluh peratus daripada 400 lebih pingat emas yang ditawarkan di Sukan Sea Myanmar 2013 adalah realistik.

"Kita pernah meraih 24 peratus di luar Kuala Lumpur iaitu di Sukan Sea Brunei 1999, jadi saya rasa 40 pingat emas adalah sasaran yang adil manakala 50 pingat emas pula adalah sasaran yang cemerlang," katanya.

Pingat emas disasarkan dalam acara renang, terjun, basikal lebuh raya, bola sepak, hoki, karate, menembak, muay thai, olahraga, pelayaran, pencak silat dan wushu.

Tambah Kok Chi, acara wushu bakal membuka tirai paling awal pada 6 Disember diikuti acara bola sepak.

Sebagai rekod, pada temasya Sukan Sea Ke-26 di Indonesia 2011, kontinjen negara meraih 59 pingat emas keseluruhan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain