suria

Ramdan Tetap Sertai ARRC Finale Walaupun Hadapi SPM

KUALA LUMPUR: Walaupun menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), penunggang muda Mohd Ramdan Rosli tetap menyertai acara finale Perlumbaan Jalan Raya Asia Petronas 2013 di Litar Losail, Qatar dari 21 hingga 23 November.

Penunggang Team Petronas AHM ini bertekad menyertai perlumbaan itu kerana ia merupakan perlumbaan terakhir bagi musim ini yang mempunyai erti baginya dalam persaingan untuk menduduki tempat 10 teratas dalam kejuaraan SuperSports 600cc, yang belum dicapainya tahun ini.

Bagaimanapun, penunggang berusia 17 tahun ini terlepas dua sesi latihan pertama pada Khamis kerana terpaksa terbang ke Doha pada Rabu.

"Berlumba membantu saya menjadi lebih fokus serta mengurangkan tekanan dan saya amat menanti-nantikan perlumbaan di Qatar, walaupun sibuk dengan SPM. Lagi pun, Losail adalah antara trek yang paling saya suka kerana suasananya berbeza daripada venue lain," kata Ramdan dalam kenyataan pada Isnin.

Mengenai prospeknya hujung minggu ini kerana hanya berpeluang menjalani satu sesi latihan sebelum melayakkan diri pada Jumaat, Ramdan berkata: "Inilah pengorbanan yang perlu saya lakukan. Sebenarnya, saya agak bimbang tidak mendapat perbatuan trek secukupnya, tapi pasukan saya memberi jaminan ia tidak menjadi masalah kerana kami bukan bertarung untuk menjadi juara.

"Matlamat kami hanyalah untuk termasuk dalam 10 pasukan teratas dan mendapat mata."

Walaupun Ramdan terpaksa berhempas-pulas untuk terus memberi cabaran kepada pesaingnya dalam SuperSports 600cc dengan hanya mendapat 2.5 mata daripada lima pusingan sebelum ini, namun penggal keduanya menunggang jentera 600cc tetap mencatat pencapaian membanggakan.

Ramdan membuktikan kehebatannya apabila menjuarai Perlumbaan ZIC Superbike September lepas dan muncul sebagai penunggang Malaysia pertama meraih kemenangan di Taiwan Speed Festival dalam percubaan pertamanya bulan lepas.

"Tahap persaingan dalam ARRC sangat tinggi kerana ia disertai ramai penunggang bertaraf dunia. Inilah sebabnya saya terpaksa berhempas-pulas untuk meraih mata. Di atas kertas, saya tidak banyak mempunyai peluang.

"Secara realiti, saya sebenarnya menggilap kemahiran saya dengan menunggang motosikal 600cc. Pengalaman berlumba dengan penunggang inilah yang membantu saya menjuarai ZIC Superbike," katanya.

Ramdan juga berazam untuk menebus kekecewaannya pada pusingan praakhir Perlumbaan Cub Prix Petronas AAM Malaysia hujung minggu lepas yang menyaksikannya terkeluar daripada perlumbaan memburu gelaran juara CP130.

"Sasaran saya ialah untuk menaiki podium di Sepang hujung minggu lepas bagi memastikan harapan saya menjuarai perlumbaan Cub Prix terus hidup, tapi motosikal saya mengalami kerosakan dan terpaksa berundur di pertengahan perlumbaan.

"Ini memberi pukulan hebat kepada pasukan saya. Saya harap nasib kami akan lebih baik di Qatar nanti," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain