suria

Kritikan Bukan Bermaksud Perlekeh Kemampuan Skuad Harimau Malaya - Zolkples

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong menjelaskan kritikannya terhadap prestasi skuad Harimau Malaya ketika menentang Bahrain baru-baru ini, bukan bermaksud memperlekeh kemampuan pasukan itu.

Malah, Zolkples berkata beliau juga tidak berniat menghentam pasukan itu kerana pandangannya berhubung pencapaian pasukan kendalian Datuk K. Rajagobal itu, adalah komen yang realistik.

"Saya lihat kualiti persembahan pemain semakin baik jika dibanding dengan pencapaian lima tahun lepas. Hari itu, saya cuma beritahu saya tidak meletakkan harapan tinggi dan sudah menjangka kekalahan itu dan bukan bermaksud menghentam pasukan dan pemain. "Saya bagi kredit dengan memuji peningkatan yang ditunjukkan oleh pasukan terutama dari aspek serangan dan cubaan yang dilakukan pemain kita...cuma nasib tidak menyebelahi kita untuk menjaringkan gol," katanya kepada Bernama.

Dalam laporan akhbar hari ini, penyerang Harimau Malaya, Safee Sali menegaskan sudah tiba masanya pasukan kebangsaan memerlukan sokongan padu dari semua pihak bukannya kritikan yang tidak berkesudahan. Bekas pemain Pelita Jaya dan Johor Darul Takzim membuat kenyataan itu, dua hari selepas Zolkples memberi komen bahawa kekalahan 1-0 Malaysia kepada Bahrain pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2015, minggu lepas sudah diduga.

Zolkples berkata beliau dari awal lagi tidak meletakkan harapan terlalu tinggi buat Harimau Malaya melakukan sesuatu, tambahan beraksi di tempat lawan serta berdepan pasukan seperti Bahrain.

Mengulas lanjut, Zolkples berkata bagi membuktikan pasukan Harimau Malaya masih relevan, mereka perlu menampilkan kemampuan apabila berdepan Qatar dalam saingan kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, malam esok.

Berhubung tindakan Safee mempertikai pandangannya menerusi Facebook penyerang itu semalam, Zolkples bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Namun dalam nada sinis, Zolkples berkata semua atlet profesional perlu berfikir secara matang sebelum memberi kenyataan dan 'bukan cepat melatah' apabila dikritik.

"Atlet sukan lain sering menghargai jasa kerajaan dalam membantu mereka seperti (ratu skuasy negara) Datuk Nicol David yang sentiasa berterima kasih dengan bantuan MSN. "Atlet di bawah MSN tahu tugas dan tanggungjawab mereka kepada negara dan berterima kasih kepada kerajaan, jadi tidak perlu saya hebohkan kepada semua apa MSN beri kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia)," katanya.

Safee mendakwa Zolkples sebagai orang kuat badan pentadbir sukan negara, tidak sepatutnya memperlekeh prestasi Harimau Malaya sebaliknya perlu membantu pasukan berkenaan.

Mengulas prestasi merudum Rajagobal sebagai pengendali Harimau Malaya, Zolkples berkata dari segi Petunjuk Prestasi Utama (KPI), jurulatih berkenaan gagal mencapai tahap yang dikehendaki.

"Berhubung masa depan Rajagobal, eloklah FAM sebagai majikan untuk tentukan sama ada mahu sambung atau tidak kontrak beliau (yang berakhir bulan depan)," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain