suria

FAM Tidak Akan Pulangkan Kembali Wang Denda Shahidan - Hamidin

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak berganjak dengan keputusan asal bahawa mereka tidak akan memulangkan wang denda RM39,000 bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim kerana melanggar Artikel 88 FAM.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata walaupun badan induk bola sepak kebangsaan itu sudah memansuhkan artikel berkenaan namun hukuman yang dikenakan ke atas individu yang bersalah di bawah artikel itu tetap berjalan seperti biasa.

"Perkara itu kekal dan tidak berubah...Saya akan berjumpa dengan beliau (Shahidan) bagi menjelaskan secara peribadi mengenai perkara berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, Isnin.

Media pada Isnin dilapor sebagai berkata bahawa Shahidan tetap dengan pendirian beliau yang mahu FAM memulangkan kembali wang denda berkenaan yang dicadang untuk disedekahkan kepada anak-anak yatim.

Pada 20 Februati lepas, FAM mengenakan hukuman gantung dua tahun setengah dan denda RM39,000 terhadap Shahidan atas kesalahan melanggar Artikel 88 kerana didapati mengeluarkan kenyataan yang disifatkan menentang dan menjatuhkan kredibiliti badan itu. -BERNAMA

Artikel Lain