suria

Subahan Pertahan Tindakan Safee Bidas Pemimpin Nombor Satu MSN

KUALA LUMPUR: Pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal tampil mempertahan tindakan penyerang kebangsaan, Safee Sali yang membidas kritikan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berhubung kekalahan Malaysia kepada Bahrain, Jumaat lepas.

Sambil berharap isu itu tidak berpanjangan, Subahan meminta semua pihak memahami tekanan yang dihadapi pemain setiap kali tewas kerana mereka sudah berusaha bersungguh-sungguh mempertahan maruah negara setiap kali beraksi dalam mana-mana kejohanan.

"Mereka (pemain) menghadapi pelbagai kepayahan demi kepentingan negara dan kerjaya sebagai pemain bola sepak bukanlah satu kerjaya mudah sebaliknya banyak pengorbanan dilakukan oleh mereka yang orang lain tidak sedar. "Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa pemain bola sepak lebih kerap bertemu jurulatih dalam seminggu berbanding masa yang dihabiskan bersama isteri dan keluarga masing-masing," katanya kepada Bernama.

Dalam laporan akhbar hari ini, Safee membidas kenyataan Zolkples yang disifatkan tidak memberi sokongan moral kepada pasukan kebangsaan selepas tewas 1-0 kepada Bahrain pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 di Manama, Jumaat lepas.

Zolkples dalam kenyataannya kepada media dua hari lepas berkata dia sudah menduga kekalahan berkenaan dan tidak meletakkan harapan tinggi kepada skuad negara yang menentang pendahulu Kumpulan D itu, apa lagi ia bukan satu tugas yang mudah kerana beraksi di tempat lawan.

Mengulas lanjut, Subahan berkata adalah tidak adil pasukan Harimau Malaya dikritik, manakala pemain tidak diberi peluang membalas kritikan itu sedangkan mereka ialah watak utama dalam menentukan keputusan di atas padang. "Bagi saya Safee bukan bertindak kurang ajar sebaliknya beliau mewakili pemain lain yang telah memberi persembahan terbaik ketika menentang Bahrain Jumaat lepas," katanya.

Beliau berkata rata-rata pemain skuad Harimau Malaya kepenatan selepas mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini dan situasi itu menyebabkan mereka memerlukan sokongan padu dan bukannya kritikan yang akan melemahkan semangat bagi meneruskan perjuangan pada kelayakan Piala Asia itu.

Subahan yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berpendapat pasukan kebangsaan boleh memenangi perlawanan di tempat lawan itu, namun nasib tidak menyebelahi mereka.

"Kita bermain baik dan memberi tentangan sengit kerana semua orang tahu, Bahrain bukan calang-calang pasukan," katanya.

Beliau berharap Safee dan pemain skuad Harimau Malaya melupakan apa yang berlaku dan fokus terhadap pertemuan menentang Qatar dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, malam esok. -BERNAMA

Artikel Lain