suria

Jeremy Buru Slot Piala Monsun Kali Keempat

KUALA TERENGGANU: Jurumudi Mohd Masyuri Rahmat akan menghadapi cabaran sengit daripada juara bertahan Jeremy Khoo pada final siri Liga Layar Malaysia (LLM) 2013 di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa di Pulau Duyong di sini esok.

Pada saingan separuh akhir hari ini, Jeremy, yang mengetuai pasukan Khoo Racing, mengetepikan cabaran jurumudi Hazman Hazim Dermawan daripada pasukan Permai Hotel Match Racing.

Mohd Masyuri, yang mewakili pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 1, pula melangkah ke pentas final apabila menyingkirkan Mohd Saifullah Mohd Esa daripada pasukan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MNST) Sailing.

Juara siri LLM itu akan mewakili negara ke Kejohanan Piala Monsun 2013 di sini dari 25 hingga 30 November.

Mohd Masyuri berkata beliau akan memperbaiki kesilapan dan melakukan yang terbaik untuk menyekat kemaraan pasukan Khoo Racing, sekali gus membawa cabaran negara ke Piala Monsun.

"Saya akan berhati-hati dan mengelak sebarang kesilapan apabila berdepan dengan juara bertahan dan pelayar berpengalaman Jeremy," katanya kepada pemberita di sini.

Dalam pada itu, Jeremy berkata beliau bersama pasukannya akan mengekalkan persembahan bagi memastikan pasukannya layak ke Piala Monsun buat kali keempat.

Dalam pada itu, pasukan Permai Hotel akan berentap dengan MSNT pada perlumbaan bagi menentukan kedudukan tempat ketiga. -BERNAMA

Artikel Lain