suria

Misi Harimau Malaya Ke Piala Asia 2015 Samar

KUALA LUMPUR: Hajat skuad Harimau Malaya ke pusingan akhir Piala Asia 2015 semakin pudar setelah kalah 1-0 kepada Bahrain pada perlawanan peringkat kumpulan D, pusingan kelayakan di Stadium Nasional Bahraian, Manama, malam Jumaat.

Berbaki dua perlawanan, Malaysia kini berada di tangga ketiga dengan mengumpul empat mata selepas mengharungi empat perlawanan, manakala Bahrain terus mengungguli kumpulan dengan 10 mata, perbezaan satu mata di hadapan pencabar terdekat, Qatar.

Bahrain yang bermain secara agresif pada babak pertama perlawanan melakukan beberapa serangan daripada pelbagai sudut namun gagal menghasilkan jaringan apabila berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan negara.

Cubaan merbahaya yang dilakukan oleh pemain Bahrian, Abdulla Ahmed Saleh seawal minit kelima berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Usaha pertahanan negara, Mahalli Jasuli untuk mencipta peluang gol gagal dimanfaatkan oleh rakan sepasukan apabila hantaran lintang yang dilakukanya pada minit ke-21 ditepis keluar oleh Sayed Mohamed Jaafar yang mengawal kemas gawang Bahrain.

Bersambung pada babak kedua perlawanan, skuad bimbingan Datuk K.Rajagobal semakin rancak mengatur serangan apabila Mohd Amri Yahyah melakukan dua cubaan pada minit ke-46 dan ke-58 namun gagal menghasilkan jaringan.

Ismaeel Abdulatif menjadi wira pasukan Bahrain apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-72, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah.

Sementara itu, dalam satu lagi saingan kumpulan D di Stadium Antarabangsa Sheikh Khalifah di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), malam ini, Qatar mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan Yaman 4-0.

Pada aksi berikutnya Harimau Malaya akan menerima kunjungan Qatar di Stadium Shah Alam pada Selasa depan sebelum melengkapkan jadual perlawanan menentang Yaman pada bulan Mac tahun depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain