suria

Middlesbrough Namakan Bekas Penolong Jurulatih Real Madrid Aitor Karanka Sebagai Pengurus Baru

Aitor Karanka
Aitor Karanka
Aitor Karanka

KELAB yang pernah berada dalam Liga Perdana Inggeris, Middlesbrough telah menamakan bekas penolong jurulatih Real Madrid, Aitor Karanka sebagai pengurus mereka yang baru.

Kini Middlesbrough bermain dalam Divisyen Dua.

Karanka, 40, dilaporkan telah menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama kelab tesebut.

Jurulatih tersebut berkhidmat sebagai penolong kepada Jose Mourinho selama tiga tahun di Bernabeu. Sebelum ini, dia tidak memiliki sebarang pengalaman sebagai seorang pengurus.

Bekas pemain pertahanan Real dan Sepanyol itu meninggalkan juara Eropah sembilan kali itu apabila Carlo Ancelotti mengantikan Mourinho sebagai pengurus Real Madrid awal musim ini.

LATAR BELAKANG AITOR KARANKA:

> Lahir di Vitoria, Sepanyol pada 1973.

> Bermain sebagai bek tengah untuk Athletic Bilbao dan Real Madrid serta pernah mewakili Sepanyol sebanyak sekali.

> Berkhidmat sebagai penolong Jose Mourinho di Real Madrid selama tiga tahun dari 2010 hingga 2013.

> Mencatat sejarah sebagai pengurus Middlesbrough bukan berbangsa British yang pertama.

Karanka berkata, walaupun ini adalah tanggungjawabnya yang pertama sebagai pengurus tetapi dia telah bersedia untuk mengalas bebanan tersebut selepas tiga tahun berkhidmat di bawah Jose Mourinho.

"Malah saya sendiri telah bercakap dengan Jose dan dia memberikan galakan sepenuhnya untuk saya menerima tawaran tersebut," ujarnya lagi.

Karanka mengantikan Tony Mowbray yang melepaskan jawatan bulan lalu.

Middlesbrough kini berada di tangga ke-16 liga dua.

Hanya tujuh tahun lalu Middlesbrough telah berjaya ke final Piala Uefa (kini dikenali sebagai Piala Europa) tetapi tewas kepada kelab Sepanyol, Sevilla.

Middlesbrough ketika itu dipimpin oleh Steve McClaren yang kemudiannya dilantik sebagai pengurus England.

Tempatnya kemudian diambil alih oleh Gareth Southgate tetapi tiga tahun selepas itu kelab berkenaan telah tersingkir ke Liga Dua dan kekal di situ sehinggalah sekarang.

Southgate kini adalah pengurus pasukan kebangsaan England Bawah-21 Tahun.

Sementara itu Pengerusi Middlesbrough, Steve Gibson berkata, ia adalah satu proses yang sukar selepas mereka menerima lebih 100 permohonan untuk jawatan pengurus baru itu.

"Tetapi akhirnya kami memilih Karanka kerana bolasepak kini telah menjadi satu bisnes global," kata Gibson.

Artikel Lain