suria

FAM Akan Jumpa Khairy Tidak Lama Lagi - Hamidin

PETALING JAYA: Kemelut yang tercetus antara Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal berakhir dalam masa terdekat.

"Mungkin dalam masa terdekat, kita (FAM) akan membuat pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan," kata Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Kemelut antara Khairy dan FAM bermula apabila menteri itu mengkritik kelemahan badan induk bola sepak itu dalam mengendalikan isu tiket dan faktor keselamatan ketika final Piala Malaysia 2013 antara Pahang dan Kelantan di Stadium Shah Alam pada 3 November lepas.

Khairy juga dilaporkan kecewa dengan penemuan sepucuk pistol jenis Browning automatik dalam sebuah tandas di stadium berkenaan.

"Saya ada menghubungi YB Khairy dan saya rasa pihak YB juga akan menghantar surat kepada FAM. Selain isu itu, ada beberapa perkara lain yang hendak kita bincangkan mengenai pembangunan bola sepak," kata Hamidin.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran rancangan televisyen 'Mencari Ramli' Musim ketiga anjuran Telekom Malaysia Berhad (TM) di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini Rabu.

Hamidin berkata beliau yakin masalah berbangkit boleh diselesaikan kedua-dua pihak.

"Mungkin ada beberapa perkara yang dilaporkan dalam media yang telah disalahtafsirkan oleh pihak terbabit atau pihak yang mengikuti masalah ini," katanya. Namun, Hamidin sependapat dengan Khairy bahawa FAM perlu melakukan perubahan.

"Dari dahulu lagi saya pernah katakan, kita (FAM) perlu berubah memandangkan permintaan daripada penyokong-penyokong muda sekarang ini begitu tinggi. Misalnya dalam isu penjualan tiket, jika 20 tahun dahulu, penjualan tiket tidak menjadi isu.

"Bagi saya FAM sendiri tidak boleh lari daripada fokus, bola sepak minat nombor satu oleh peminat-peminat sukan, media mahupun pemimpin negara. Jadi, kita perlu menerima kritikan dan pandangan yang membina walaupun mungkin ada yang tidak membina, kita akan gunakannya sebagai panduan," katanya.

Bagaimanapun, Hamidin berkata apa sahaja bentuk perubahan yang akan dilakukan FAM pada masa depan perlu mengikut undang-undang atau statut FAM.

"Semua perubahan atau pandangan itu perlu kita perhalusi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain