suria

Ashaari Juara Sirkit Kebangsaan BMW Malaysia Siri Keempat

KUALA LUMPUR: Jurulatih muda Ashaari Zainal muncul juara perseorangan lelaki Kejohanan Tenis Sirkit Kebangsaan BMW Malaysia siri keempat di Kompleks Tenis Tun Razak, Jalan Duta, di sini Rabu.

Pemuda berusia 25 tahun itu menewaskan pemain kebangsaan Syed Mohd Agil Syed Naguib, 19, dengan 'straight set' 6-2, 6-1.

"Saya berpuas hati dapat bermain dengan baik hari ini. Saya sangat gembira memandangkan ini adalah kemenangan pertama saya dalam sirkit kebangsaan," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian hadiah kejohanan.

Ashaari, yang berasal dari Pasir Gudang, Johor, membawa pulang piala dan hadiah wang tunai RM4,000 selain menambah mata dalam ranking kebangsaan.

Beliau turut bercadang untuk menyertai siri Masters yang merupakan siri terakhir dan kemuncak sirkit pada bulan depan.

Sementara itu, S.Theviya meraih kemenangan percuma dalam kategori perseorangan wanita apabila lawannya Alyssa Boey menarik diri.

Dalam perlawanan akhir beregu lelaki, gandingan Koay Hao Sheng dan pemain senior Si Yew Ming berhadapan tentangan sengit Syed Mohd Agil dan Ashaari sebelum menang 6-2, 2-6 (10-8).

Saingan beregu wanita pula dikuasai Theviya dan Yus Syazlin Nabila Yusri yang mengenepikan cabaran Michelle Khoo dan Nurin Nabilah Roslan dengan keputusan 6-4, 6-0. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Sergio Perez Sah Tinggalkan McLaren

Artikel Lain